Gagal tunai janji 100 hari, PAS beri PH ‘gred D’

Tuan Ibrahim Tuan Man juga menempelak cadangan PH mewujudkan kereta nasional ke-3 dan hidupkan kembali Formula 1.

KUALA LUMPUR: PAS hari ini memberikan Pakatan Harapan (PH) “gred D” kerana hanya berjaya melaksanakan 30% daripada manifesto 100 hari yang dijanjikan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli jawatankuasa penggubal manifesto pakatan itu perlu bertanggungjawab mengenai perkara tersebut.

“Saya letak dalam 27-30%, PH hanya berjaya gred D, kena ulang baliklah kertas peperiksaan tersebut.

“Bila mereka gagal bermakna jawatankuasa ini gagal membuat pengkajian yang teliti sebelum kemukakan kepada rakyat termasuk soal hutang sebab perkara ini bukan sulit,” katanya pada sidang medianya bersama kepimpinan PAS di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan PH menunaikan 10 janjinya menjelang 100 hari pentadbiran.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu juga menempelak beberapa tindakan yang tidak sepatutnya dibuat tanpa mengutamakan manifesto untuk rakyat, antaranya cadangan mewujudkan kereta nasional ke-3 dan Grand Prix Formula 1.

“Kerajaan buat benda-benda di luar yang sepatutnya. Nak bina kereta ke-3, kemudian Formula 1 akan dihidupkan kembali, yang bukan keutamaan bagi rakyat kali ini,” katanya.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata, pengundi yang sedar mengenai ketidakmampuan PH juga bakal diterjemah menerusi 2 PRK di DUN Balakong dan Seri Setia.

“Mood rakyat sekarang cuba mempertikaikan sejauh mana komitmen PH menunaikan janji yang lain.

“Kebetulan tamat tempoh janji 100 hari PH bersamaan penamaan calon PRK DUN Balakong dan Seri Setia. Kita akan nilai sejauh mana rakyat menilai janji 100 hari yang diterjemahkan dalam kotak undi.”