Malaysia bawa pulang jet Jho Low jika beli guna duit 1MDB, kata Dr M

Perdana menteri berkata, jika terbukti jet tersebut dibeli dengan wang Malaysia yang dicuri, maka kerajaan berhak membawanya pulang seperti kapal layar mewah Equanimity sebelum ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan jet peribadi didakwa milik jutawan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, dibeli mengunakan wang daripada syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlebih dahulu sebelum membawanya pulang ke Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika terbukti jet tersebut dibeli dengan wang Malaysia yang dicuri, maka kerajaan berhak membawanya pulang seperti kapal layar mewah Equanimity sebelum ini.

“Kita akan cuba dapatkan, kalau kita berpendapat jet itu dibeli dengan wang yang dicuri, kita kena pastikan dulu bahawa wang yang diguna untuk beli jet itu adalah wang yang dicuri.

“Kalau curi wang dari Malaysia maka ia adalah milik kita, sama dengan kapal,” katanya kepada media selepas merasmikan Private and Cardiac Vascular Specialist Hospital di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad memberitahu Malaysia sedang berbincang dengan Singapura untuk membawa pulang jet peribadi yang didakwa milik Jho Low yang kini ditahan oleh pihak berkuasa negara itu di lapangan terbang Seletar sejak 2017.

Dipercayai jet jenis Bombardier Global 5000 berharga AS$30 juta (RM122.55 juta) itu dibeli dengan menggunakan wang daripada syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana menteri berkata, ada pihak dalam kerajaan yang sedang menguruskan “operasi” membawa pulang aset itu dari republik tersebut.

Kapal layar mewah bernilai RM1 bilion, Equanimity, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low, kini ditahan di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang selepas tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Selasa lepas, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, proses penjualan kapal layar mewah itu akan selesai dalam tempoh 3 hingga 4 bulan dengan syarat tiada pihak yang mencabar pemilikan kapal itu di mahkamah negara ini.