Nasib projek pengangkutan awam dalam 100 hari pentadbiran PH

Projek HSR hanya ditangguhkan, bukannya dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, Anthony Loke Siew Fook dilantik menjadi menteri pengangkutan manakala Datuk Kamarudin Jaffar dilantik sebagai timbalannya.

Dalam tempoh 100 hari pemerintahan kerajaan PH, beberapa keputusan dibuat berhubung projek besar membabitkan pengangkutan oleh kerajaan terdahulu.

Ia selaras dengan 10 janji dalam 100 di mana PH berjanji mengkaji semula langkah pemberian projek mega kepada negara asing.

Bagaimanapun, keputusan projek berhubung pengangkutan itu bukan hanya melibatkan kementerian pengangkutan sahaja, tetapi ia turut melibatkan kementerian lain.

MRT3 tak batal tapi ditangguh

Dalam sidang media yang dilakukan pada 30 Mei selepas mengadakan mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek Transit Aliran Massa (MRT 3) atau Laluan MRT Lingkaran.

Dr Mahathir berkata, pembatalan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira implikasi ke atas ekonomi kewangan negara.

Kos MRT3 sebelum ini dianggarkan bernilai RM40 bilion sehingga RM50 bilion.

Projek berkenaan bertujuan menyambung laluan antara MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang dan MRT2 yang beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya.

Pada 31 Julai, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kemudiannya menjelaskan MRT3 tidak dibatalkan dan hanya ditangguhkan bagi mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Katanya, Kabinet akan menentukan bila proses menyambung semula pembinaan MRT3 akan dibuat, namun menegaskan projek utama seperti MRT3 akan diberi keutamaan sekiranya kedudukan kewangan negara pulih.

HSR diteruskan selepas dibatalkan

Pada 28 Mei, Dr Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM menyatakan Malaysia membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Beliau berkata, Malaysia berkemungkinan perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta.

Dr Mahathir berkata, pampasan itu perlu dibayar sekiranya Malaysia menarik diri daripada meneruskan projek terbabit.

Anthony kemudiannya pada 29 Mei, berkata keputusan mengenai pembatalan atau meneruskan projek HSR belum pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Kemudian, pada 1 Jun selepas itu, Singapura melalui saluran diplomatik meminta kerajaan Malaysia menjelaskan pendiriannya mengenai projek HSR.

Bagaimanapun pada 12 Jun, Dr Mahathir dalam satu wawancara bersama Nikkei Asian Review berkata, projek HSR hanya ditangguhkan, bukannya dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Katanya, kerajaan tidak boleh kata negara tidak akan ada kereta api berkelajuan tinggi kerana perkhidmatan itu merupakan sesuatu yang diperlukan pada masa depan, terutamanya merentasi kawasan semenanjung.

Pada 15 Ogos, dilaporkan perbincangan antara Malaysia dan Singapura mengenai HSR akan diteruskan selepas bermula secara rasmi pada 11 Ogos lepas.

Kos ECRL dikurangkan

Pada 23 Jun, kerajaan dilaporkan merundingkan semula projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dengan China dengan harapan dapat mengurangkan kos.

Manakala pada 25 Jun, Dr Mahathir berkata kerajaan akan meneruskan projek ECRL sekiranya terma-terma dalam kontrak perjanjian itu boleh dirunding semula.

Beliau berkata, kerajaan wajar mengadakan rundingan semula dengan China bagi mengurangkan kos pembinaan projek kereta api berkenaan.

Kos LRT3 disemak semula

Pada 10 Julai, kerajaan mengarahkan Prasarana Malaysia (Prasarana) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM31.45 bilion.

Kerajaan juga dilaporkan tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik.

SPAD kepada APAD

Pada 6 Jun, Anthony berkata sebuah entiti baharu yang dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan diwujudkan bagi menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau berkata langkah tersebut merupakan antara pelan penstrukturan semula suruhanjaya tersebut bagi mengurangkan kos dan memastikan tiada pertindihan tugas dengan jabatan lain terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Anthony, fungsi APAD ialah merancang dan melihat pada sektor pembangunan awam darat seperti perkhidmatan LRT, rel, bas dan sebagainya.

Gaji pengerusi Mavcom

Pada 30 Mei lalu, Anthony mendedahkan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Tan Sri Jen (B) Abdullah Ahmad menerima elaun RM85,000 sebulan, peningkatan 8% daripada RM78,300 yang dibayar sejak suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2016.

Menurutnya, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang memansuhkan suruhanjaya itu walaupun dibelenggu beberapa isu.

Abdullah selepas itu meletakkan jawatan dan jawatan berkenaan diisi Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Anthony ketika mengumumkan perlantikan itu pada 20 Julai menyatakan elaun baharu pengerusi Mavcom itu adalah sebanyak RM15,000 sebulan, seiring dengan dasar ketelusan kerajaan PH.

Pengerusi CAAM letak jawatan

Pada 31 Julai, Anthony mengumumkan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkuat kuasa 14 Ogos.

Beliau berkata peletakan jawatan Azharuddin ekoran pembentangan laporan siasatan keselamatan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi pesawat Malaysia Airlines (MH370).