Pinda, bukan mansuh akta berita palsu, kata Azalina kepada PH

Bekas menteri JPM Azalina Othman Said berkata, akta itu tidak sewajarnya dimansuhkan sebaliknya hanya dipinda bahagian tertentu sekiranya didapati tidak bersesuaian.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini digesa tidak tergesa-gesa memansuhkan Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 kerana ia mengisi kelompongan dalam akta lain.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Saidi berkata, akta itu tidak sewajarnya dimansuhkan sebaliknya hanya dipinda bahagian tertentu sekiranya didapati tidak bersesuaian.

“Kita panggil pakar dalam bidang media sosial, kita panggil pihak Twitter, Facebook, Google dan Yahoo bincangkan bagaimana undang-undang ini boleh membantu pengguna media sosial.

“Mungkin menteri boleh buat pindaan kepada akta, kalau kata denda terlalu tinggi maka kita kurangkan denda, kalau kata zalim, kita pinda yang kata zalim itu,” katanya sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin membentangkan usul bagi memansuhkan undang-undang Akta Antiberita Tidak benar 2018 bagi bacaan kali kedua pada hari terakhir sesi persidangan Parlimen.

“Ia merupakan detik bersejarah bagi saya, hari ini dalam sejarah. Sebelum ini saya berada di sebelah sana (pembangkang) membantah dan hari ini saya mengumumkan untuk usul memansuhkannya.

“Ia selaras usaha untuk membolehkan kerajaan menghapuskan undang-undang zalim dan memberi kebebasan kepada pihak media menjalankan semak dan imbang kepada kerajaan,” kata Hanipa.

Azalina bagaimanapun berkata, adalah lebih baik sekiranya kerajaan menyelesaikan isu rang undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

“Dalam Seksyen 88, kes penukaran agama kanak-kanak lebih penting. Kalau menteri kata zalim, banyak lagi undang-undang yang boleh dikatakan zalim, jangan bakar kelambu kerana marahkan nyamuk.

“Speaker kena berlaku adil dalam dewan ini. Memang kerajaan akan menang kerana miliki majoriti lebih, tetapi kena ingat undang-undang dibuat untuk membantu, melindungi rakyat,” katanya yang bertanggungjawab membentangkan undang-undang tersebut ini sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Azalina turut mempersoalkan bahagian akta itu yang dikatakan zalim hingga ada dakwaan kononnya ia dibentangkan bagi menghalang rakyat berbicara soal isu 1MDB.

“Jika kata tidak boleh bahas isu 1MDB, saya hendak kata disebabkan isu itu kita kalah. Ketika itu rakyat percaya wajar kerajaan ditukar apabila dalam ceramah pemimpin PH menyebutnya. Jika disebabkan akta ini akan menggerunkan rakyat bercakap, maka itu tidak tepat.

“Akta kanun keseksaan dan akta komunikasi tidak boleh mengendalikan kes di media sosial kerana ia berlaku dengan pantas, masalah utama adalah akaun palsu. Akaun palsu ini susah hendak cari siapakah yang punya,” katanya.

Pada Mei baru lalu Kementerian Komunikasi dan Multimedia menubuhkan pasukan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan April lepas patut dimansuhkan atau dipinda, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

Gobind dilaporkan berkata beliau dan pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan akta tersebut sebelum mengemukakan satu cadangan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.