Redzuan, dari budak kampung tak tau Inggeris, kepada jurutera lulusan UK

KUALA LUMPUR: Daripada pelajar sekolah kampung yang tidak tahu berbahasa Inggeris, Mohd Redzuan Md Yusof kemudian menjadi jurutera lulusan United Kingdom dan kini menganggotai Kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri pembangunan usahawan itu memulakan persekolahan di kampung kelahirannya – Masjid Tanah di daerah Alor Gajah, Melaka.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan, kemudian meneruskan pelajaran di sebuah sekolah asrama, tetapi terpaksa menyertai program intensif bahasa Inggeris selama setahun kerana tidak tahu berbahasa Inggeris dan kebanyakan guru tidak mengajar dalam bahasa Melayu, kecuali untuk subjek bahasa Melayu serta agama Islam.

“Guru-guru itu merupakan bukan Melayu. Kami dilahirkan pada 1957. Saya fikir kami mempunyai lebih banyak ketahanan daripada sesiapa yang dilahirkan daripada sistem pendidikan masa ini,” katanya dalam wawancara bersama FMT di Menara Bank Rakyat, baru-baru ini.

Kesungguhannya mempelajari bahasa Inggeris tidak sia-sia apabila Redzuan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan di Universiti Leeds dan pulang berkhidmat dengan syarikat Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selama 8 tahun serta Petronas.

Jurutera berusia 61 tahun itu tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik, tetapi kebimbangannya terhadap keadaan negara, khasnya skandal 1MDB menyebabkan beliau membantu bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengasaskan PPBM.

Redzuan kemudian dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan ketua Badan Pimpinan PPBM Melaka, serta dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah buat julung kali.

Beliau berjaya menewaskan 2 pencabar dari Barisan Nasional dan PAS dengan majoriti 6,980 undi pada 9 Mei lalu, serta dilantik sebagai menteri.

“Apabila diberi mandat oleh Dr Mahathir, saya perlu menunaikan kewajipan saya kepada rakyat dan kepercayaan yang diberi kepada saya.”

Matlamat dan strategi Kementerian Pembangunan Usahawan?

Redzuan berkata, perniagaan dan keusahawanan tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi negara.

Malaysia jika mahu menjadi negara maju, katanya, kerajaan perlu memperkasakan bidang keusahawanan yang penting untuk pembangunan ekonomi negara.

“Negara maju Jepun dan Korea yang dahulunya sama taraf dengan Malaysia, tetapi disebabkan keutamaan diberikan kepada keusahawanan, mereka sekarang jadi negara maju, di mana usahawan ini telah membesar menjadi konglomerat terkenal di dunia.”

Beliau menyasarkan bidang keusahawanan menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada anggaran 23% sekarang kepada 42% dalam masa 5 tahun lagi dan seterusnya melebihi 45%.

Apa keutamaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)?

Redzuan juga berhasrat memperkukuhkan sumbangan ekonomi daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini dalam paras 36% daripada KDNK dan menambah baik pelan tindakan sedia ada bagi komuniti itu.

“Itu tak boleh lari…kita kena perkasakan R&D. Kalau lihat negara maju, ia selari, R&D kena wujud. Kalau tak ada R&D, maksudnya kita tak boleh maju ke depan.

“Mesti buat penyelidikan macam mana nak buat lebih baik dalam R&D. Contoh hari ini, kenapa industri kecil tidak boleh tumbuh dengan memberangsang. Kita lupa meningkatkan R&D, kadangkala mereka hanya tumpu kepada sains dan teknologi.”

Beliau memberi contoh bidang pembuatan kenderaan di Jepun.

“Macam mana nak latih seorang ‘production operator’ mengambil barang, meletak, memasang komponen kereta dengan begitu cepat.

“Itu kena ada kajian. Kita lupa perkara kecil dalam R&D mesti kita lakukan dalam konteks membangunkan usahawan kita, ambil contoh negara lain, kajian pembangunan mereka lebih ke depan.

“Sebab itu kita perlu buat kajian ‘human capital development’ apa yang kita boleh buat…Jadi kita buat kajian apakah yang kita boleh buat untuk sama taraf dengan kebolehan kita yang kurang daripada fizikal kita ada. Itu perlu R&D dalam konteks pembangunan keusahawanan.”

Beliau turut menasihatkan peniaga tempatan mengubah mentaliti dengan mengkaji semula kos perniagaan tidak menguntungkan untuk mengelakkan penjualan barang sama di kawasan sama seperti Kompleks Pekan Rabu di Kedah.

“Kenapa perlu menjual nasi lemak, jika ada 10 kedai sama menjual nasi lemak?

“Lebih baik jual ikan bilis dan boleh jual kepada 10 peniaga nasi lemak itu. Kena ubah mentaliti itu.”

Majlis Amanah Rakyat (Mara)

Redzuan berkata, Mara yang mempunyai 3 teras – keusahawanan, perniagaan dan ekonomi, amat penting serta perlu dibangunkan secara bersama sebagai satu unit.

“Banyak spekulasi atau laporan mengenai Mara akan dipisahkan dan saya tidak setuju…Sama ada ia akan diletakkan di bawah sebuah kementerian atau kementerian saya, itu perkara kedua. Saya berpegang kepada prinsip itu (tidak patut diasingkan).”

Adakah biasiswa Mara perlu diteruskan?

Bekas peminjam skim pelajaran Mara itu berkata, biasiswa Mara perlu diteruskan kerana pendidikan asas adalah penting.

“Jika anda meletakkan nilai di dalam pendidikan dan membina integriti dalam kalangan pelajar…ke mana saja mereka pergi dengan adanya pendidikan asas, mereka boleh cemerlang dalam bidang yang diminati.”