Tony Pua ucap ‘terima kasih’ Najib tugaskannya hapus tol

Tony Pua berkata jumlah pampasan RM400 bilion itu adalah angka daripada kerajaan BN yang mengambil kira keuntungan masa depan.

KUALA LUMPUR: Tony Pua mengucapkan “terima kasih” kepada Datuk Seri Najib Razak yang mencadangkannya dalam tugas menghapuskan semua tol jalan raya seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli parlimen Damansara itu berkata, beliau akan menyampaikan semua cadangan penghapusan tol itu kepada kerajaan.

“Terima kasih atas keyakinan Datuk Seri Najib Razak kepada saya dan saya akan menghulurkan segala cadangan kepada pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Najib sebelum ini membidas Tony yang juga pegawai khas menteri kewangan selepas PH mengumumkan janji memansuhkan tol tidak dapat dipenuhi ketika ini kerana kerajaan tidak cukup wang untuk membayar pampasan kepada konsesi.

“Kerajaan PH seharusnya menugaskan Tony Pua dalam usaha menghapuskan semua tol jalan raya bagi menepati antara janji utama manifesto PRU14 mereka.

“Saya percaya Tony Pua dan DAP bukan penipu dan pengiraan mereka yang jauh lebih murah adalah tepat – bukan hanya dibuat untuk menipu undi rakyat dan tidak mungkin DAP selalu salah titik perpuluhan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata sangat sukar untuk menghapuskan semua tol seperti yang dijanjikan kerana kos untuk berbuat demikian ialah sebanyak RM400 bilion.

Mengulas lanjut, Tony berkata angka RM400 bilion yang disebut Baru berhubung pampasan kepada syarikat konsesi tol adalah angka daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ia mengambil kira pampasan kepada pihak konsesi, termasuk keuntungan masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH juga belum merancang untuk mengambil alih syarikat konsesi tol.

“Tapi kalau kita ambil alih konsesi tol ini, kita akan bayar pampasan hanya mengikut kadar yang termaktub dalam kontrak, iaitu kos pembinaan lebuh raya, tidak termasuk keuntungan masa depan.

“Oleh sebab itu, jumlah diperlukan untuk ambil alih tol tidak akan dekat dengan angka RM400 bilion.”