Anwar: Ramai tawar diri, tapi belum sampai masa saya bertanding

Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa budayawan, termasuk Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said di ibu pejabat PKR hari ini.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belum sampai masa untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen, walaupun ramai wakil rakyat menawarkan diri memberi laluan kepadanya.

Katanya, sejak kembali dari Turki, ramai ahli Parlimen menemuinya.

“Dari semua parti dan kita berbeza pendapat semasa pilihan raya, tapi kita tak ada permusuhan peribadi.

“Ramai jumpa…dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Kedah dari semua parti, ada masalah?

“Saya bincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu dan beritahu (dia) sebaik sahaja ada keputusan, saya maklumkan dia dulu,” katanya selepas menemui beberapa budayawan di ibu pejabat PKR, hari ini.

Rabu lalu, sumber yang dipetik FMT berkata, Anwar mungkin bertanding di kerusi yang dimenangi ahli Parlimen bebas di Perak atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Sumber itu berkata, ahli Parlimen bebas itu menemui Anwar dan menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya.

Terdapat 2 ahli Parlimen bebas di Perak, iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali Azmi di Bagan Serai dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Bukit Gantang.
Bagaimanapun, Azmi yang meninggalkan Umno pada 24 Jun lalu dan menyokong Pakatan Harapan (PH), menafikan beliau pernah menemui Anwar sebelum ini.

Sementara itu, Anwar menyarankan ahli Parlimen mengikuti kursus bahasa Malaysia untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan.

“Ramai yang menegur tentang prestasi ahli-ahli Parlimen di Parlimen kerana bahasa…pertamanya lemah, keduanya kesat dan kurang sopan.”

Katanya, ketika PKR bersama DAP dan PAS mengambil alih kerajaan Selangor pada 2008, Pakatan Rakyat ketika itu menganjurkan kursus bahasa Malaysia untuk Adun.

“Kalau tidak, malu nanti anak-anak dengar. Dia tengok mutu penguasaan bahasa jauh lemah daripada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia.”

Ditanya jika kerajaan pimpinan PH perlu mengurangkan tindakan mengharamkan buku, bekas menteri pendidikan itu berkata, tidak salah penulis mempunyai pandangan berbeza dan diberi ruang untuk bebas bersuara, tetapi ada syaratnya.

“Melainkan buku seperti Satanic Verses dan buku-buku menghina, mengecam agama dan nabi-nabi serta Islam.”