Bank Negara denda 1MDB RM15 juta

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda RM15 juta terhadap 1MDB pada “waktu bank pusat berkenaan dibenarkan melakukannya”, kata Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas waktu itu.

Shamsiah menjawab soalan berhubung jumlah denda dikenakan setakat ini terhadap 1MDB pada sidang media hari ini, ketika mengumumkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia untuk suku ke-2 tahun ini.

Pada 28 April 2016, BNM mengeluarkan surat keterangan pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Ia antara tindakan akhir yang diambil Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum bersara sebagai gabenor BNM.

Shamsiah mendedahkan pada waktu berkenaan, bank pusat itu dilarang menyatakan jumlah denda berkenaan.

Oleh kerana Parlimen semalam memberikan lampu hijau untuk membuka semula siasatan 1MDB, BNM akan meneruskan untuk menyelaraskan dengan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat syarikat berkenaan, katanya.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan 21 Mei lalu berkata, pasukan petugas khas yang diketuai bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan 3 lagi pemimpin dibentuk untuk menyiasat 1MDB.

Pasukan petugas khas itu turut merangkumi pegawai BNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan polis, selain peguam yang khusus dalam bidang undang-undang berkaitan.

“Sebagai sebahagian daripada pasukan petugas khas itu, kami membantu pasukan berkenaan dengan berkongsi kertas siasatan kami dan apa yang kami ketahui setakat ini kepada agensi berkaitan dan pasukan petugas itu.

“Kami juga membantu mereka melihat aliran wang (syarikat berkenaan),” kata Shamsiah dan menambah, keutamaan BNM masih menyampaikan mandat bagi memastikan kestabilan kewangan.