Malaysia kejutkan Korea Selatan 2-1, mara ke pusingan kedua

BANDUNG: Malaysia mengejutkan pasukan pilihan Korea Selatan dalam saingan bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 dengan kemenangan 2-1 malam ini.

Dalam aksi Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat tersebut, Malaysia nyata tidak gentar berhadapan pasukan memiliki reputasi tinggi itu apabila mendahului pada minit ke-4, hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid.

Korea Selatan yang membariskan pemain beraksi pada Piala Dunia 2018, Hwang Hee-Chan, banyak melakukan serangan namun gagal membolosi gawang Malaysia, sebaliknya Muhammad Safawi sekali lagi bertindak cemerlang menggegarkan gawang Korea Selatan pada minit ke-45.

Tersentak apabila ketinggalan 2 gol, Korea Selatan menurunkan seorang lagi pemain skuad Piala Dunia 2018 yang juga pemain kelab Tottenham Hotspur, Son Heung-Min menggantikan Kim Jungmin pada minit ke-56.

Pemain Korea Selatan terus mengganas melancarkan serangan, namun penjaga gol skuad Bawah 23 tahun Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli tetap kebal mempertahankan gawang sebelum akhirnya dibolosi pada minit ke-87 melalui jaringan Hwang Ui Jo.

Menerusi kemenangan itu, skuad muda Malaysia kini mendahului Kumpulan E dengan mengumpul 6 mata, sekali gus layak ke pusingan kedua.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu sebelum ini, mencatat kemenangan pertama menewaskan Kyrgzstan 3-1, dua hari lepas.

Korea Selatan masih di kedudukan kedua kumpulan dengan kutipan 3 mata, manakala Kyrgyzstan dan Bahrain masing-masing mengumpul 1 mata selepas seri 2-2 pada aksi kedua kumpulan hari ini.

Bahrain tewas 0-6 kepada Korea Selatan pada aksi pertama, 2 hari lepas.

Malaysia dijadual bertemu Bahrain pada perlawanan terakhir kumpulan, 20 Ogos ini.