Menteri: Penurunan kos bina rumah tak ketara selepas SST

Zuraida Kamaruddin berkata, kos pembinaan rumah tidak turun ketara kerana akan dipengaruhi faktor lain, walaupun bahan binaan dikecualikan SST.

PUTRAJAYA: Kos pembinaan rumah akan berkurangan, tetapi penurunan itu tidak ketara selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai bulan depan, kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Zuraida Kamaruddin berkata, kos bahan binaan dikecualikan SST.

“Secara umumnya memang akan ada penurunan dari segi perbelanjaan membuat rumah.

“Tapi kita tidak pasti berapa peratus penurunan itu sehingga mereka mengkaji harga sesuatu projek perumahan.

“Kalau kita tengok kos untuk bahan binaan sahaja memang akan ada penurunan sedikit, tapi bila dah gabung dengan faktor-faktor (kos) yang lain, mungkin akan kurang sedikit sahaja,” katanya selepas penyerahan cek RM250,000 oleh Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di kementeriannya hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan dikecualikan SST.

Katanya, antara contoh bahan binaan tidak dikenakan SST seperti simen, pasir dan besi.

Sementara itu, Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon berkata, satu kajian menyeluruh akan dijalankan bagi menilai semula harga rumah selepas SST dikuatkuasakan.

Katanya, kos bahan binaan hanya terdiri daripada 50% dan kos lain seperti tanah dan buruh masih dikenakan SST.

“Kita akan beri gambaran yang lebih jelas bila kita ada senarai lengkap.”

Sebelum ini, Lim berkata, SST hanya akan merangkumi 38% daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60% di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, dengan melaksanakan SST yang ditambah baik, kerajaan dapat “mengembalikan” kutipan cukai kira-kira RM23 bilion kepada rakyat dan mengurangkan beban kewangan rakyat.