Pemandu bas RapidKL rempuh kenderaan positif dadah

Pemandu bas RapidKL itu turut cedera dalam insiden rempuhan beberapa kenderaan di Jalan Ampang.

KUALA LUMPUR: Pemandu bas RapidKL yang melanggar beberapa kenderaan ketika ia memecut di Jalan Ampang malam tadi didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim mengesahkan pemandu itu sudah ditahan polis dan disahkan berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian berlaku.

“Terdapat 2 siasatan yang dibuat, pertama di IPD Ampang dan 1 lagi di Kuala Lumpur dan didapati positif dadah.

“Kedua-dua siasatan adalah sama, cuma melibatkan 2 kawasan berbeza iaitu Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Tajudin Md Isa.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata siasatan yang dilakukan terhadap pemandu yang turut cedera di bahagian kepala itu dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan cedera dalam kejadian jam 8.00 malam di depan Bangunan Risda, Jalan Ampang.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pelantikan bekas pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah sebagai ketua pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah normal kerana agensi itu adalah agensi terbuka.

“Ini perkara biasa, kalau arahan sudah dikeluarkan, kita kena ikut lah,” katanya.