Ratu jelmaan Nyai Roro Kidul mengaku Nabi Muhammad di Indonesia

Nyai Roro Kidul adalah puteri lagenda masyarakat di Jawa, Indonesia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Indonesia kini heboh dengan kemunculan ajaran sesat yang dikenali sebagai Kerajaan Ubur-ubur yang dipelopori seorang wanita yang mengaku dirinya jelmaan Nyai Roro Kidul, puteri legenda negara itu.

Tribun News melaporkan, pengasas aliran itu yang dikenali sebagai Ratu Aisyah turut mendakwa dia adalah Nabi Muhammad.

Dibantu seorang raja bernama Rudi, kerajaan itu kini memiliki 8 pengikut tetap dan 20 ahli yang mengadakan pertemuan setiap Khamis malam Jumaat, dan acara itu berlangsung sehingga subuh.

Ajaran itu yang berlokasi di Kota Serang, Banten, Jawa Barat juga memiliki struktur organisasi dimulai dengan ratu, raja, ketua penerima tetamu kerajaan, ketua keluarga kerajaan, ketua pengembangan program kerajaan urusan ritual, ketua urusan idea kreatif untuk raja dan urusan perkebunan.

Aishah melalui Instagramnya cuba menyakinkan orang ramai agar menerima ajarannya dengan berkata: “Kalau aku mahu dipercayai, aku harus bertudung dan menjaga imej.

“Tetapi aku datang bukan untuk itu. Bercakap di video pun aku tidak mandi. Bermakna aku tidak menjaga imej dan tidak ingin terkenal.”