Zuraida belum tahu kos buat pilihan raya PBT

Pilihan raya PBT merupakan salah satu janji manifesto kerajaan PH.

PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin belum dapat memastikan kos yang perlu dikeluarkan untuk melaksanakan pilihan raya
pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kementeriannya masih mengkaji kos tersebut dan laporan mengenainya belum diterima setakat ini.

“Sekarang kita masih mengkaji kos untuk melaksanakan pilihan raya PBT, dan saya masih belum mendapat laporan tersebut.

“Saya beri tempoh masa 3 tahun sebab saya percaya dalam tempoh itu situasi kewangan negara kita akan lebih stabil,” katanya.

Pada 26 Mei lalu, beliau memberitahu pilihan raya PBT mungkin boleh dilaksanakan dalam masa sekurang-kurangnya 3 tahun lagi.

Katanya, buat masa ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan pelbagai perkara lain terlebih dahulu seperti memastikan kedudukan kewangan negara stabil.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata datuk bandar bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dipilih secara terus melalui pilihanraya PBT.

Khalid berkata, pemilihan secara terus itu termasuk ahli majlis PBT supaya tidak ada lagi arahan dikeluar oleh satu pihak dan hanya mengikut telunjuk satu pihak sahaja.

Pilihan raya PBT merupakan salah satu janji manifesto kerajaan PH.