Bersih: Calon terang-terangan lakukan kesalahan pilihan raya

Yap Swee Seng berkata pasukan SPR kurang memantau kempen calon, yang menggunakan kaum dan agama untuk meraih undi.

PETALING JAYA: Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menggesa semua parti politik dan calon pilihan jangan menggunakan taktik kotor semasa berkempen.

Pengarah Eksekutif Yap Swee Seng merujuk kepada kesalahan dalam berkempen yang Bersih 2.0 dapati berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Kandis.

“Kami menyeru calon-calon yang bertanding dalam PRK Seri Setia dan Balakong jangan menggunakan taktik berkempen yang kotor seperti yang berlaku di Sungai Kandis.

“Kami tidak mahu melihat aset dan program kerajaan disalahgunakan, berbelanja untuk mempengaruhi undi dan memberi sumbangan untuk mendapatkan sokongan.

“Semua itu kesalahan pilihan raya tetapi sukar nak ubah tabiat lama. Parti-parti politik dan calon-calon perlu beri perhatian,” katanya.

Dalam laporan pemantau PRK Sungai Kandis, Bersih 2.0 mendapati calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan calon Pakatan Harapan (PH) Zawawi Ahmad Mughni melakukan kesalahan-kesalahan itu.

“Kami mendapati kempen Zawawi mengajurkan aktiviti seperti menawarkan minyak enjin percuma kepada penunggang motosikal dan pemeriksaan perubatan dan ubat-ubatan percuma kepada penduduk. Semua ini kesalahan pilihan raya.

“Zawawi juga menyalahgunakan aset kerajaan dalam sekurang-kurangnya 4 kes, di mana dia didapati berkempen untuk mendapatkan sokongan di 2 sekolah kerajaan dan di 3 acara kerajaan.

“Dalam kejadian lain, beberapa menteri juga didapati menggunakan kenderaan rasmi ke pusat penamaan,” kata Yap.

Lokman didapati melakukan kesalahan pilihan raya apabila menyediakan makanan dan minuman untuk mempengaruhi pengundi dalam 2 kejadian, iaitu mengadakan kenduri anjuran Umno Pahanag pada 31 Julai dan ceramah “Pentas Bicara Rakyat” pada 1 Ogos, di mana makanan dihidangkan kepada hadirin.

“Lebih mengejutkan, kaum dan agama sekali lagi digunakan untuk mendapatkan sokongan di sekurang-kurangnya 4 acara dalam kempen Lokman.”

Yap mendakwa penceramah, seperti Shukri Samsudin dan Khairul Muzammil, dalam satu ceramah mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan seperti DAP menentang orang Melayu.

Beliau berkata Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman juga menggunakan agama untuk mendakwa kumpulan tertentu mahu merampas kuasa politik.

“Suruhanjaya Pilihan Raya mesti ambil tindakan. Itulah satu-satunya cara untuk menghentikan taktik berkempen yang kotor. Rakyat mahu pilihan raya yang bebas dan adil. Mereka mahu undi dikira dengan adil dan pilihan mereka dihormati.

“Semua taktik manipulasi dan penipuan harus diharamkan. Ia diharamkan oleh undang-undang tetapi parti politik mesti maklum dan pastikan ia tidak berlaku lagi,” kata Yap.

Beliau berkata SPR tidak patut mengehadkan peranannya kepada hanya hari penamaan dan hari pengundian. Bersih 2.0 berkata suruhanjaya itu kurang memantau aktiviti kempen semua calon.

“Ada banyak kekurangan. Mereka ada pasukan penguatkuasaan tetapi mereka hanya menyiasat bahan kempen seperti sepanduk.

“Mereka juga patut menyiasat kesalahan lain seperti menyebabkan pengaruh yang tidak wajar, menyalahgunakan aset kerajaan, dan berkempen di sekolah-sekolah dan rumah-rumah ibadat. Semua aktiviti itu tidak boleh dibenarkan,” katanya.

Bersih 2.0 mengatur 38 pemerhati pada PRK Sungai Kandis, yang berlangsung dari 21 Julai hingga 4 Ogos.