Pasangan Islam mohon kerakyatan Swiss ditolak kerana enggan jabat tangan

Permohonan kerakyatan Swiss oleh satu pasangan orang Islam disekat kerana enggan berjabat tangan dengan orang berlainan jantina. (Gambar AFP)

GENEVA: Bandar Lausanne di Switzerland menyekat usaha sepasang orang Islam yang ingin menjadi rakyat Swiss kerana enggan berjabat tangan dengan orang berlainan jantina.

Pihak berkuasa tempatan berkata ia enggan meluluskan permohonan kerakyatan itu kerana mereka tidak menghormati kesamaan gender, kata Datuk Bandar Gregoire Junod.

Beliau berkata suruhanjaya PBT menyoal pasangan itu beberapa bulan lepas bagi menentukan sama ada mereka memenuhi kriteria kerakyatan tetapi dalam keputusan yang diumumkan pada Jumaat mendapati mereka gagal dalam soal integrasi.

Beliau enggan mendedahkan kerakyatan atau butiran lain yang boleh mengenal pasti pasangan itu, cuma berkata mereka “tidak menjabat tangan orang berlainan jantina.”

Mereka juga “menunjukkan kesukaran menjawab soalan yang diajukan oleh orang berlainan jantina,” katanya.

Sesetengah orang Islam yang warak berhujah Islam tidak membenarkan sentuhan fizikal antara orang berlainan jantina, kecuali ahli keluarga terdekat tertentu.

Junod berkata kebebasan kepercayaan dan agama termaktub dalam undang-undang wilayah Vaud, yang menempatkan bandar Lausanne.

Tetapi “amalan agama tidak terletak di luar lingkungan undang-undang,” katanya.

Naib Datuk Bandar Pierre-Antoine Hildbrand, yang juga salah seorang anggota suruhanjaya PBT 3 anggota yang menyoal pasangan itu, “sangat berpuas hati dengan keputusan” menolak permohonan pasangan itu.

“Perlembagaan dan kesamaan antara lelaki dan wanita mengatasi ketaksuban,” katanya.

Pasangan itu diberi 30 hari untuk merayu keputusan itu, kata Junod.

Kejadian ini bukan pertama kali kengganan berjabat tangan mencetuskan ketegangan di Switzerland.

Pada 2016, Switzerland gempar apabila sebuah sekolah menengah membenarkan 2 adik beradik berketurunan Syria tidak menjabat tangan guru selepas mereka mengadu berbuat demikian menyalahi kepercayaan agama mereka jika guru itu seorang wanita.

Perkara itu bertentangan dengan budaya Swiss yang mana pelajar akan menjabat tangan guru sebagai tanda hormat, dan ditengah-tengah kemarahan orang ramai pihak berkuasa wilayah segera membatalkan keputusan sekolah itu.