SPR harap peratus keluar mengundi 75-80% di Balakong

Mohamed Elias mengingatkan penyokong kedua-dua pihak bahawa mereka tidak dibenarkan menggunakan media sosial untuk berkempen pada hari mengundi.

BANGI: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjangkakan 75 ke 80% pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bulan depan.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, tempoh masa mengundi dilanjutkan ke jam 5.30 petang dan berharap pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada 8 September nanti.

Kerusi majoriti pengundi Cina dengan 61,219 pengundi itu kosong selepas wakilnya Eddie Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya bulan lepas.

Mohamed Elias mengingatkan penyokong kedua-dua pihak bahawa mereka tidak dibenarkan menggunakan media sosial untuk berkempen pada hari mengundi.

“Apa juga bentuk aplikasi media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram dilarang,” katanya kepada pemberita di Pejabat Daerah Hulu Langat, hari ini.

Beliau memaklumkan tempoh berkempen selama 21 hari ditetapkan kerana banyaknya cuti umum dari hari ini hingga ke hari mengundi, termasuk cuti Hari Raya Korban dan Hari Kemerdekaan.

“Cuti umum itu akan menyukarkan aktiviti kempen calon,” katanya.

“Jadi kita memutuskan untuk memanjangkan tempoh berkempen kali ini.”

“Ada yang bersetuju dan ada yang tidak, tetapi kita tidak dapat penuhi kehendak semua orang, tetapi kita percaya tempoh kempen lebih panjang ini adil kepada calon,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14, Tien Chee yang mewakili DAP menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

Chien Tee memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).