Anda tuduh syarikat China rasuah, Najib tanya Dr M

Najib membidas Dr M kerana dakwaan rasuah dalam urusan dengan syarikat China.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana dakwaan yang mencadangkan pihak tertentu meminta sogokan dalam bentuk saham syarikat-syarikat Cina yang menjalankan perniagaan di Malaysia bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri itu berkata kata-kata Dr Mahathir semasa berucap kepada para pemimpin perniagaan hari ini tidak masuk akal dan juga satu tuduhan terhadap syarikat-syarikat China.

Beliau memberikan contoh 2 syarikat China yang terlibat dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan satu projek saluran paip minyak.

Beliau berkata China Communications Construction Company (CCCC) dan China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah syarikat yang amat besar di peringkat global dan disenarai awam milik kerajaan China dengan nilai jualan AS$370 bilion.

“Adakah masuk akal kononnya kerajaan BN meminta 30% saham syarikat-syarikat kerajaan China sebagai sogokan?

“Adakah Tun Mahathir menuduh syarikat-syarikat gergasi milik kerajaan China bersubahat dengan kerajaan BN untuk melakukan jenayah rasuah?” kata Najib.

Dr Mahathir di satu forum perniagaan di Beijing hari ini dilaporkan berkata pelabur dari China diminta memberikan 30% saham kepada orang tertentu, dan menambah itulah sebab berlaku kelewatan dalam menyiapkan projek.

Najib berkata Dr Mahathir bagai berucap di ceramah politik.

“Dr Mahathir perlu berhenti bercereka dan tunjukkan bukti tuduhannya benar, dan sebagai seorang perdana menteri, seharusnya beliau berhenti bermain politik di hadapan pelabur-pelabur luar negara,” katanya.