Iran akan pamer pesawat pejuang baharu ketika berdepan sekatan AS

TEHRAN: Iran akan mempamerkan pesawat pejuang baharu minggu ini dalam rancangan negara itu meningkatkan kemampuan pertahanan, kata Menteri Pertahanan Brig Jen Amir Hatami, ketika negara itu berdepan sekatan baharu Amerika Syarikat.

Hatami berkata demikian 2 hari selepas Setiausaha Negara AS Michael Pompeo mengumumkan penubuhan satu kumpulan yang bertanggungjawab untuk meningkatkan tekanan ekonomi dan politik terhadap Iran, selepas Presiden Donald Trump mengundurkan AS daripada perjanjian nuklear 2015.

Pembangunan “kebolehan peluru berpandu, yang dianggap sebagai senjata pencegah, masih menjadi keutamaan Iran walaupun AS mengenakan sekatan ekonomi,” kata Hatami menurut agensi berita Mehr.

“Mana-mana negara yang mahu mengancam keselamatan kami, ia akan menerima balasan yang hebat.”

Peralatan baharu itu akan dipamerkan pada Rabu ketika Iran meeraikan Hari Industri Pertahanan Kebangsaan, kata Hatami. Iran perlu meningkatkan “ketepatan dan kefungsian” peluru berpandu ketika seteru meningkatkan program ketenteraan mereka, katanya.

Awal bulan ini, Iran mempamerkan peluru berpandu generasi baru “Fateh Mobin” untuk melindungi negara itu. Program peluru berpandu balistik antara sebab yang AS berikan untuk berundur daripada perjanjian nuklear antarabangsa dengan Tehran dan mengenakan semula sekatan mulai bulan ini.