Musa Aman akan pulang esok, kata sumber

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dikatakan berada di United Kingdom untuk rawatan kesihatan akan pulang secara sukarela ke Malaysia esok, kata sumber.

Sumber memberitahu maklumat awal mengatakan Musa akan mendarat di Singapura sebelum pulang ke Malaysia sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Pihak media akan dikemaskini dari masa ke semasa mengenai status maklumat ini. Waktu dan lapangan terbang Musa Aman akan bakal didedahkan sebaik maklumat lanjut diperoleh,” kata sumber.

Musa sebelum ini menafikan beliau melarikan diri selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Adun Sungai Sibuga itu berkata dia meninggalkan negara secara sah pada 16 Mei dan berada di UK “untuk tujuan perubatan dan urusan peribadi”.

Juhar membuat laporan polis terhadap Musa hampir seminggu selepas beliau mengangkat sumpah, dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah pada pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun BN berpaling tadah.

Pada 1 Ogos lepas, polis berkata kertas siasatan melibatkan Musa hampir siap dan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Pada 15 Ogos lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Syed Abas Syed Ali mengarahkan Musa Aman mengangkat sumpah wakil rakyat sebelum 11 September atau mengosongkan kerusi itu.