100 hari: Selain hapus tol, Baru Bian hadapi pelbagai isu pembangunan infrastruktur

Baru berkata langkah menghapuskan tol akan ditangguhkan sehingga keadaan kewangan negara mengizinkan, namun berjanji akan meneliti langkah lain untuk menurunkan kos sara hidup. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perjalanan 100 hari pertama “Malaysia Baru” di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan cabaran besar menyambut Kementerian Kerja Raya dalam melaksanakan beberapa janji manifesto PH yang diawarkan semasa kempen pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lalu.

Selepas berjaya menawan Putrajaya, pengerusi PKR Sarawak dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dilantik dan diberi kepercayaan untuk menerajui Kementerian Kerja Raya. Beliau dibantu oleh pemimpin Amanah dan Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir sebagai timbalan menteri kerja raya.

Antara janji penting yang belum dilaksanakan di bawah portfolio Kementerian Kerja Raya kerajaan baru ialah penghapusan tol.

Walaupun tidak termasuk dalam 10 janji 100 hari PH, penghapusan tol merupakan antara isu panas yang sering disebut-sebut sebagai contoh kegagalan pentadbiran lama menjaga kebajikan rakyat dan terkandung dalam manifesto kerajaan PH untuk dilaksanakan sekiranya diberi kuasa.

Janji untuk menghapuskan tol

Janji untuk menghapuskan tol bukanlah satu perkara baru dan telah bermula sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah lagi.

Semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib, beberapa lebuh raya telah diluluskan, antaranya Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE-jangka siap 2020), Damansara Shah Alam Elevated Expressway (DASH – jangka siap 2020), East Klang Valley Expressway (EKVE – jangka siap 2018), West Coast Expressway (WCE-jangka siap 2018) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE-jangka siap 2020).

Di bawah pentadbiran Najib, antara tol yang ditamatkan ialah di di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

PH pula dalam manifesto pilihan rayanya berpegang kepada prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat kroni kerajaan perlu dihentikan.

PH juga berjanji mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan akan berunding mendapatkan terma serta harga terbaik sebelum mengambil alih setiap konsesi dengan matlamat akhir penghapusan semua tol.

Bagaimanapun sebelum bermulanya kempen PRU14, iaitu pada 3 April 2018, Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi PH menjelaskan ia tidak akan memansuhkan kutipan tol secara serentak, sebaliknya melakukannya secara berperingkat jika pakatan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya.

Dr Mahthir berkata kutipan tol hanya akan dimansuhkan berdasarkan kontrak yang ditandatangani kerajaan dengan syarikat konsesi.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya mengetuai kerajaan selama 22 tahun, beliau tahu hasil kutipan tol boleh digunakan untuk menyelenggara dan memperluaskan jalan.

Dr Mahthir yang kini merupakan perdana menteri ke-7 berkata, rakyat Malaysia harus berfikir 2 kali sebelum mengadu tentang kadar tol tinggi kerana mereka tidak perlu membayar tol sebanyak negara lain.

Menyifatkan kadar tol di Malaysia antara terendah di dunia, Dr Mahathir memberi contoh jambatan di Jepun yang mengenakan bayaran tol sangat mahal, dengan pengguna terpaksa membayar sebanyak RM270 untuk perjalanan sehala.

Januari lepas, Dr Mahathir juga mempertahankan dasar pentadbirannya terdahulu mengutip tol daripada pengguna jalan raya selepas digelar “bapa segala tol” oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Namun selepas PH menawan Putrajaya, pada 13 Ogos lepas, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata PH memutuskan untuk menangguhkan langkah menghapuskan tol lebuh raya memandangkan keputusan itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan melebihi RM400 bilion.

Baru berkata langkah menghapuskan tol akan ditangguhkan sehingga keadaan kewangan negara mengizinkan, namun berjanji akan meneliti langkah lain untuk menurunkan kos sara hidup.

Beliau juga berkata penghapuskan tol tidak termasuk dalam 10 janji 100 hari pentadbiran kerajaan PH.

Tindakan itu mendapat kritikan daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang mencadangkan supaya pegawai khas menteri kewangan, Tony Pua, dilantik menguruskan usaha penghapusan tol lebuh raya di negara.

Najib berkata, selepas dilantik sebagai menteri kewangan pada 2008, beliau telah menukar status Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membolehkan perjanjian konsesi tol disemak orang ramai.

Katanya, kerajaan beliau mengumumkan kos sebanyak RM231 bilion diperlukan untuk menghapuskan kesemua konsesi tol, berbanding angka diberikan Baru yang jauh lebih tinggi.

Pembinaan lebuh raya Pan Borneo

Baru Bian berkata beliau secara peribadi akan memantau projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata itu adalah komitmennya untuk memastikan projek mega meliputi Sarawak dan Sabah itu dilaksanakan dengan jayanya dan mengikut jadual.

Katanya buat permulaan beliau merancang untuk melakukan lawatan ke tapak pembinaan dari Telok Melano (Lundu), Kuching ke Miri di bahagian Sarawak bersama-sama dengan pegawai kementerian bagi fasa pertama pembinaan.

Lebuhraya sepanjang 2,325-kilometer itu membabitkan kos kira-kira RM29 bilion dijadual siap pada 2021. Kos itu bagaimanapun sedang disemak semula.

Pada 11 Ogos lalu Baru berkata akan mengumumkan kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dikaji semula sebaik perbincangan dengan syarikat pengendali projek berkenaan, Lebuhraya Borneo Utara (LBU), selesai.

Beliau berkata sebelum ini pihak LBU mengadakan perjumpaan dengan menteri kewangan bagi membincangkan perkara itu dan diberikan tempoh 2 minggu untuk mengemukakan keputusan pihak syarikat berkenaan.

Terowong dasar laut Pulau Pinang

Februari lalu, skandal terowong dasar laut mencetuskan kontroversi selepas kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan tidak akan memberi sebarang maklum balas mengenai terowong dasar laut dan 3 lebuh raya bernilai RM6.3 bilion yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Projek mega itu, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan yang dibantah penduduk atas kebimbangan impak ekonomi, sosial dan alam sekitarnya menarik perhatian awam.

Projek terowong dasar laut itu diteliti kerajaan BN sebelum ini susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada ke atasnya Februari lepas.

Terowong 7.2km itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dan Bagan Ajam di Butterworth. Ia dijadualkan bermula pada 2023.

3 jalan utama itu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Bagaimanapun 3 Julai lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata skandal rasuah membabitkan Consortium Zenith Constructions Sdn Bhd (CZC) – kontraktor yang membangunkan terowong dasar laut dan lebuh raya Pulau Pinang, tidak menjejaskan rancangan kerajaan negeri berhubung projek bernilai RM6.3 bilion itu.

Pada Februari, SPRM menahan seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun disyaki menerima rasuah untuk menutup siasatan SPRM terhadap CZC di Putrajaya.

Perkara itu mendapat perhatian apabila CZC mengeluarkan surat tuntutan kepada individu berkenaan dan pemimpin terkemuka Umno kerana didakwa gagal melaksanakan tugasan mereka untuk menyiapkan khidmat rundingan seperti dalam perjanjian pada Julai 2013.

Katanya, RM22 juta dibayar kepada dua pihak – RM19 juta kepada ahli perniagaan itu dan RM3 juta kepada Abdul Azeez Abdul Rahim.

Tidak lama kemudian didedahkan bahawa Azeez yang ketika itu Ahli Parlimen Baling menjadi mangsa “nama digunakan”. Ahli perniagaan terbabit menggunakan nama Azeez, membuatkan Zenith percaya bahawa Azeez mewakili ahli perniagaan itu.

Jambatan Labuan

Menteri Kerja Raya baru juga terpaksa berhadapan isu berbangkit berkaitan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok yang menghubungkan pulau bebas cukai ini dengan tanah besar Sabah dan dijadualkan siap pada 2023.

Projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian tekno-ekonomi kebolehlaksanaannya itu selesai pada Disember tahun ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan kini sedang dalam proses terakhir memuktamadkan tawaran dan pelantikan syarikat perunding dan setelah semakan siap, satu dokumen khusus iaitu “Request for Proposal” (RPF) akan diberi kepada syarikat perunding dalam masa 3 bulan (dijangka selesai menjelang akhir Mac 2019).

Semasa pembentangan Bajet 2018 tahun lepas, Najib mengumumkan kerajaan meluluskan dan memperuntukkan sejumlah RM14.31 juta untuk kajian tekno-ekonomi kebolehlaksanaan mengenai cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok.