100 hari: UEC, Utusan Malaysia, SMPC antara isu hangatkan Kementerian Pendidikan

Maszlee juga terpalit dengan beberapa isu seperti desakan beberapa pemimpin DAP supaya beliau mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina.

Kuala lumpur: Selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei lalu, Dr Maszlee Malik dilantik dan diberi kepercayaan untuk menerajui Kementerian Pendidikan, manakala, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching diberi tanggungjawab membantu Maszlee sebagai timbalan menteri.

Selama 100 hari pentadbiran kerajaan PH, dalam 10 janji yang dibuatnya sebelum pilihan raya umum lalu, janji ke-6 menyebut tentang penangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam,” demikian dicatatkan dalam dokumen pilihan raya pakatan politik 4 parti itu.

Dalam melaksanakan janji tersebut, Pengerusi PTPTN yang baru, Wan Saiful Wan Jan, merangkap penasihat khas menteri pendidikan, menggesa peminjam melakukan kemas kini maklumat sehingga 31 Julai lalu.

Tamat tempoh 100 itu masih tidak menyaksikan perkembangan mengenai peminjam PTPTN yang mendapat gaji kurang RM4,000 yang masih perlu membayar hutang pinjaman mereka.

Bagaimanapun, sebagai langkah awal Wan Saiful mengumumkan seramai 429,945 peminjam kini dibebaskan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia dan boleh ke luar negara sejak Jun lalu.

11 pegawai khas

Pada awal pelantikannya sebagai menteri pendidikan, Maszlee dikritik kerana melantik seramai 11 pegawai khas seperti dipaparkan dalam laman web kementerian pendidikan, tetapi masukan itu kemudiannya dipadamkan.

Selain itu, beliau juga turut melantik penasihat khas beliau, Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi PTPTN.

UEC

Di sebalik janji PTPTN, Kementerian Pendidikan juga terpalit dengan beberapa isu seperti desakan beberapa pemimpin DAP supaya ia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina.

Maszlee berkata, keputusan muktamad mengiktiraf sijil UEC hanya akan dibuat selepas kajian menyeluruh dalam tempoh 5 tahun kerana ia tidak termasuk dalam 10 janji 100 hari PH.

Kementerian Pendidikan memutuskan akan menjalankan kajian menyeluruh dan mengumpul pandangan pelbagai pihak kerana mengambil kira kepentingan bahasa Melayu dan keharmonian kaum setelah isu itu mendapat bantahan keras pelbagai pihak kerana dikatakan bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan.

Kasut hitam untuk pelajar

Ketika 10 janji dalam 100 hari masih tidak terlaksana, Maszlee ncetuskan kontroversi baru apabila menetapkan pelajar seluruh negara tidak lagi perlu memakai kasut berwarna putih mulai sesi persekolahan tahun depan.

Maszlee berkata keputusan mewajibkan pelajar sekolah memakai kasut berwarna hitam dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang diterimanya sejak menjadi menteri.

Keputusan Maszlee itu walaupun disokong sesetengah pihak, mendapat kritikan, termasuk daripada bekas penasihat sosio-budaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim yang pelik dengan keputusan itu.

Bagi Rais, banyak lagi isu penting yang perlu ditangani menteri baru itu, termasuk masalah displin pelajar, bukannya memperkenalkan dasar pemakaian kasut hitam kepada pelajar.

Henti langgan akhbar milik Umno

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasanya supaya berhenti melanggan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Langkah itu dibuat menerusi satu memo yang dikeluarkan oleh penasihat khas menteri, Wan Saiful Wan Jan bertarikh 18 Julai yang ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Mohd Ghazali Abas.

Maszlee ketika ditanya mengenai keputusan itu berkata, beliau tidak mengetahui memo yang dikeluarkan kementeriannya mengarahkan penamatan langganan akhabar itu.

Bantuan kewangan SMPC

Dalam tempoh 100 hari itu juga, Maszlee berjanji menyediakan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) melalui peruntukan kerajaan persekutuan.

Maszlee dalam kenyataan “pelik” berbahasa Mandarin kepada akhbar Cina tempatan berkata, kerajaan PH akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap SMPC.

Keputusan itu dilihat dibuat selepas Maszlee dikritik pemimpin DAP, Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) dan Ong Boon Piow (PH-Bercham) yang mndakwa pendirian kerajaan baru adalah sama dengan sikap ditunjukkan BN sebelum ini.

Tindakan Maszlee itu dikritik sesetengah pihak termasuk PAS yang menyifatkannya sebagai bukti PH tunduk kepada kehendak DAP.

Tindakan Maszlee itu juga menyebabkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut menggesa sekolah persendirian agama diberikan bantuan serupa.

Pengarah universiti disingkir

Kementerian Pendidikan juga memutuskan untuk menggantikan 3 anggota lembaga pengarah Universiti Malaya (UM) yang dirasakannya tidak dapat membawa agenda reformasi institusi.

Maszlee berkata, mereka yang disingkirkan itu juga merupakan lantikan politik, dan menyifatkan langkah itu selari dengan langkah Putrajaya menukar pegawai tinggi dalam pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

3 individu yang disingkirkan daripada pengerusi lembaga pengarah UM ialah Datuk Dr Zakri Abdul Hamid, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim serta Tan Sri Lim Wee Chai.

Program MyBrain ditangguh

Kementerian Pendidikan juga menangguhkan Program Biasiswa MyBrain sementara mendapat kelulusan peruntukan baru daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

MyBrain merupakan skim pembiayaan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan untuk calon ijazah sarjana (Master) dan kedoktoran (PHD).

Maszlee berkata, Kementerian Kewangan dan EPU pada waktu ini sedang melihatkan kepentingan terhadap beberapa isu terdahulu. Bahkan ia ditangguhkan kerana kerajaan terdahulu meninggalkan hutang yang banyak.

Sasar 5 tahun mansuh AUKU

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, pentadbiran PH menetapkan tempoh 5 tahun untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan rayanya.

Teo berkata, kementeriannya memerlukan lebih banyak masa untuk menghapuskan akta itu dan menggantikannya dengan undang-undang baru.

Tambah Teo, Kementerian Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa terdiri daripada 12 anggota pelbagai latar belakang untuk mengkaji AUKU.

Perkasa sekolah

Bagi membantu sekolah tahfiz supaya mampu berdaya saing sama ada dalam dunia akademik atau pasaran kerja, Maszlee memutuskan untuk melakukan beberapa intervensi ke arah tujuan itu.

Antara perancangan kementerian termasuklah memperkenalkan subjek ilmu keusahawanan kepada pelajar tahfiz bagi memberi nilai tambah kepada pengajian mereka sedia ada.

Maszlee juga menggesa setiap sekolah rendah menyediakan sudut pidato atau sudut berbicara (speakers’ corner) sebagai medium kepada murid mengasah bakat dalam bidang pengucapan awam.

Menamatkan audit guru

Kementerian Pendidikan memberhentikan siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang dijalankan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) berkuat kuasa serta merta.

SKPMg2 terdiri daripada 5 standard iaitu kepemimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal pelajar, pembelajaran dan pemudahcara (PdPc) serta kemenjadian murid.

Isu SKPMg2 timbul apabila pentadbir sekolah dan guru mempertikaikan tujuan dan matlamatnya,selain perlu menyediakan eviden kepada Jemaah Nazir sedangkan datanya sudah sedia dalam pangkalan data Kementerian Pendidikan.

Isu utama dalam inisiatif ini ialah usaha mengembalikan semula tugas guru mengajar di sekolah, bukannya menghabiskan masa mengisi borang atau melakukan kerja perkeranian atau meninggalkan sekolah untuk menghadiri seminar yang lebih bertujuan memenuhi agenda politik kelompok atau individu tertentu seperti sebelum ini.