‘Alat radioaktif hilang boleh jadi bom dengan mudah’

Fadzil Ahmat berkata, 2 juruteknik ditahan minggu lalu, tetapi tiada bukti mengaitkan mereka dengan kehilangan alat radiografi perindustrian itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Alat radiografi perindustrian (RDD) mengandungi isotop radioaktif yang hilang 10 hari lalu, boleh dijadikan bom dengan mudah, kata sumber dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

“Apa yang diperlukan ialah bahan lain untuk membuat peranti letupan. Kami berharap ia tidak jatuh ke tangan yang salah,” kata sumber itu kepada FMT.

Beliau memberi amaran mereka yang terdedah kepada bahan itu akan mempunyai simptom seperti loya, muntah, disusuli cirit-birit, sakit kepala dan demam.

Selepas pusingan pertama gejala itu, mungkin tiada kesakitan dalam tempoh singkat, tetapi ia akan disusuli gejala lebih serius dalam masa beberapa minggu.

Pendedahan radiasi pada tahap tinggi akan menyebabkan gejala itu muncul segera bersama kerosakan organ dalaman yang mungkin membawa maut.

Sumber itu berkata, kesan jangka panjang termasuk kanser.

Oleh itu, katanya, AELB sedang bekerjasama rapat dengan polis untuk mengenal pasti lokasi alat itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu.

Polis Selangor mengesahkan kehilangan RDD seberat 23kg milik sebuah syarikat di Shah Alam yang berharga kira-kira RM75,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, 2 juruteknik syarikat itu ditahan 11 Ogos lalu.

“Mereka direman seminggu, tetapi dibebaskan kerana tiada bukti mengaitkan mereka dengan kes itu,” katanya kepada FMT.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, siasatan rapi sedang dilakukan berhubung kehilangan RDD itu.

Katanya, ini bukan kejadian pertama peralatan seperti itu hilang kerana kes sama pernah dilaporkan tahun lalu.

Beliau berkata, 2 pekerja tempatan syarikat terbabit dibebaskan Jumaat lalu, selepas keterangan mereka direkodkan.

Akhbar New Straits Times (NST) hari ini melaporkan AELB dan polis sedang menyiasat kehilangan RDD, selepas ia hilang ketika dibawa pulang dari Seremban ke Shah Alam.

RDD yang mengandungi isotop radioaktif, iaitu Iridium 192 dilaporkan pada 10 Ogos lalu.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna pihak lain, termasuk pengganas untuk membuat bom.

Akhbar itu memetik pakar kaji logam, Abd Nassir Ibrahim yang juga pengarah urusan Pusat Latihan Madani NDT sebagai berkata, alat itu digunakan dalam pelbagai projek kejuruteraan, termasuk membina dan menyelenggara loji jana kuasa, kimia dan petrokimia serta kilang kenderaan.

Radiasi ialah tenaga yang bergerak dalam bentuk gelombang atau zarah berkelajuan tinggi.

Ia muncul secara semula jadi dalam sinaran matahari. Radiasi buatan manusia digunakan dalam X-ray, senjata nuklear dan rawatan kanser.