Azmin masih tak umum sokong Anwar jadi PM, kata calon naib presiden PKR

Kesavan berkata perlu ada perubahan dalam kepemimpinan kepada individu yang ikhlas bekerja dengan Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU: Salah seorang calon bagi jawatan naib presiden PKR mempersoalkan kesetiaan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap pemimpin de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan, yang akan bertanding dengan 11 yang lain, berkata beliau tidak pasti sama ada Azmin sebenarnya mahu Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.

“Saya tidak yakin dengan timbalan presiden kerana sehingga hari ini, dia tidak pernah menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Anwar sebagai perdana menteri,” katanya pada majlis parti itu, semalam.

Beliau menjawab soalan semasa sesi perbahasan mengenai isu semasa berhubung jawatan timbalan presiden PKR.

Disebabkan itu, Kesavan berkata perlu ada perubahan dalam kepemimpinan kepada individu yang ikhlas bekerja dengan Anwar.

“Kami tidak mahu pemimpin yang kelihatan setia tetapi secara rahsia cuba untuk menggagalkan agenda pembaharuan yang sebenar, lebih-lebih lagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Itulah sebabnya kami mahu menyokong Rafizi sebagai timbalan presiden, untuk memastikan agenda ini dan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri boleh dilaksanakan,” katanya kepada ahli-ahli PKR Sabah.

Ahli Parlimen Selayang William Leong, yang juga bertanding untuk jawatan naib presiden, berkata beliau bersedia meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.

“Saya menyertai PKR bukan untuk jawatan atau menjadi menteri atau ahli parlimen. Anwar adalah lambang pembaharuan negara. Jika dia tidak mengorbankan kebebasannya, kita tidak akan mempunyai kerajaan baru hari ini.

“Anwar jauh lebih penting untuk pembaharuan negara, sebab itulah saya tidak mempunyai masalah untuk memberi laluan kepadannya. Saya fikir semua ahli parlimen yang ikhlas tentang pembaharuan tidak mempunyai masalah untuk melakukan perkara sama,” katanya.

Ahli parlimen selama 3 tahun itu sebelum ini berkata beliau sanggup memberi laluan kepada Anwar, tetapi menolak dakwaan beliau sedia menjadi kambing hitam, mengatakan Anwar menjadi mangsa politik.