Batal saman AES: NGO minta PH tangguh hingga Januari

Sekretariat ProtAES, Zulhazmi Sharif menggesa pemasangan kamera AES di lokasi yang mempunyai majoriti kemalangan maut, bukannya di tengah lebuhraya atau cerun bukit. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pembatalan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan sejak 2012 tidak memadai, sebaliknya pelaksanaannya perlu ditangguh hingga Januari depan, kata NGO yang memperjuangkan isu AES.

Sekretariat Protes AES (ProtAES), Zulhazmi Sharif berkata, gesaan itu dibuat kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memandangkan sehingga kini masih tiada kajian lengkap dilakukan terhadap lokasi pemasangan kamera AES.

“Kami minta pelaksanaan AES ditangguhkan sementara untuk mengkaji semula lokasi pemasangan kamera. Pasanglah di lokasi yang mempunyai majoriti kemalangan maut, bukan pasang di tengah lebuhraya atau cerun bukit.

“Dapatkan kajian dan maklumat dahulu mengenai lokasi AES ini diletakkan, itu yang kita minta, kaji semula lokasi. Kalau hendak laksanakan, buatlah semula pada Januari, masih ada lagi 4 bulan, dalam waktu yang ada ini, buatlah kajian,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini.

Anthony juga tidak dapat menentukan bilangan kamera AES yang dipasang, adakah jumlah sebanyak 1,000 itu sama seperti ditetapkan atau kurang daripada jumlah itu.

Zulhazmi berkata, beliau tidak menolak pelaksanaan AES, bahkan setuju dengan keputusan Anthony yang tidak menyambung kontrak 2 syarikat konsesi pengendali AES yang akan tamat pada 31 Ogos ini.

“Kita dari awal tidak ada masalah melaksanakan AES, apa yang kita bangkitkan sejak dahulu adalah pelaksanaan dan cara pelaksanaan itu dikuatkuasakan. Apabila diberikan kepada 2 syarikat swasta, itulah punca yang menyebabkan kita bantah.

“Hal ini kerana, matlamat asal AES dipasang menurut kerajaan terdahulu adalah untuk mengurangkan kemalangan maut di atas jalan raya dan meningkat pematuhan undang-undang oleh pengguna kenderaan, katanya.

Zulhazmi turut mencadangkan supaya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar kesalahan lalu lintas buat kali pertama, sebaliknya mengambil tindakan mendidik terlebih dahulu.

“Jika kesalahan pertama dilakukan, kita minta JPJ hantar surat peringatan kepada pesalah, hinggalah 3 kali kesalahan dilakukan barulah tindakan saman diambil. Setidak-tidaknya kita ambil tindakan mendidik terlebih dahulu.”