Calon PH Seri Setia azam tarik lebih ramai pengundi

Halimey berkata antara fokus utama beliau dalam kempen ialah membantu mengatasi masalah yang dihadapi golongan B40 di DUN tersebut.

PETALING JAYA: Masuk hari kedua berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan UNdangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar komited untuk menarik lebih ramai pengundi keluar mengundi pada 8 September depan.

Ia susulan “pengajaran” yang diterima daripada PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu yang menyaksikan tidak lebih 50% pengundi keluar mengundi ketika itu.

“Tumpuan dan sasaran kita adalah membawa pengundi keluar pada 8 Sept nanti,” katanya kepada media di bilik gerakan tama PH, di sini, hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu menyaksikan hanya 49.4% pemilih membuang undi, jauh lebih rendah daripada sasaran ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sebanyak 80%.

Berikutan itu calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR hanya menang dengan majoriti 5,842 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dari Umno dan calon Bebas, K Murthy.

Keadaan itu jauh berbeza dengan pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan penyandang kerusi DUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi dengan peratusan keluar mengundi setinggi 85%.

Halimey memberitahu, antara fokus utama beliau dalam kempen PRK itu ialah membantu mengatasi masalah yang dihadapi golongan B40 di DUN tersebut.

Beliau berkata, di DUN Seri Setia sahaja terdapat kira-kira 40 ke 50% golongan B40 yang rata-ratanya mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 sebulan dan memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek bagi menyara kehidupan.

“Saya akan mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk memasang sistem kamera litar tertutup CCTV bagi membendung masalah vandalisme yang sering dihadapai oleh mereka yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Saya juga terpanggil untuk membantu golongan wanita, khususnya kaum ibu untuk menambah pendapatan kekuarga dengan membuat kerja sambilan di rumah khususnya dalam sektor pakaian jahitan dan makanan sejuk beku,” katanya.

Selain itu, calon yang berusia 46 tahun itu juga berkata beliau komited untuk membantu kebajikan anak-anak keluarga B40 supaya tidak tercicir dalam pelajaran.

“Program Tuisyen Rakyat (PTRS), Pembangunan Modul Insan Selangor (INSAN), Penggerak Belia Tempatan Selangor (PeBT) , Program Iktisas Selangor berkaitan TVET akan diperhebatkan di DUN ini,” katanya.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada pihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.