Dakwaan kempen halang saya jadi PM tak berasas, kata Anwar

Anwar Ibrahim tidak tahu sama ada Abdullah Sani Abdul Hamid akan menulis surat untuk membetulkan kenyataannya sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meminta Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid membetulkan dakwaan berhubung Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, di belakang kempen menghalangnya menjadi perdana menteri.

“Saya beritahu beliau yang dakwaan itu tidak berasas dan menasihatkan beliau membuat pembetulan terhadap kenyataannya.

“Saya tidak tahu jika beliau mahu menulis surat atau tidak,” kata Anwar selepas menghadiri perbicaraan satu kes saman di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau merujuk dakwaan Sani pada 11 Ogos lalu berhubung usaha menghalangnya menjadi perdana menteri seperti yang dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Sani berkata, Daim mendakwa Anwar tidak sesuai memegang jawatan itu dan perlu menunggu sehingga Dr Mahathir menunaikan komitmennya kepada kerajaan.

Adun Ijok, Dr Idris Ahmad pula mendakwa Dr Mahathir dan Daim “menaja” beberapa pemimpin PKR untuk memusnahkan parti itu dari dalam.

Dr Mahathir menyangkal semua dakwaan itu dengan meminta pihak terbabit menunjukkan bukti.

Anwar berada di mahkamah hari ini untuk kes saman terhadap bekas calon Umno di Permatang Pauh pada PRU13, Datuk Mazlan Ismail dan stesen televisyen swasta, TV3.

Anwar memfailkan saman itu pada 15 Oktober 2015 kerana Mazlan yang tewas kepada Anwar pada PRU13, mendakwa beliau menerima surat yang mengatakan Anwar membayar peguamnya, mendiang Karpal Singh lebih RM50 juta sejak 2008 sebagai yuran guaman dan merasuah hakim serta pendakwa raya.

Karpal yang mengetuai pasukan peguam Anwar dalam kes liwat 2, meninggal dunia dalam kemalangan pada 17 April 2014.

Anwar berkata, ketika kenyataan itu dibuat, beliau ialah ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh, serta dakwaan itu mencemarkan imejnya.

Katanya, dakwaan defendan terhadapnya membawa maksud beliau tiada integriti, bermoral rendah dan tidak sesuai memegang jawatan awam kerana memberikan rasuah.

Anwar yang memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi menghalang defendan terus memfitnahnya, akan kembali ke mahkamah pada 24 Ogos ini untuk kemungkinan mencapai penyelesaian bagi saman itu.

Peguamnya, Sangeet Kaur Deo berkata, mereka masih membincangkan syarat penyelesaian di luar mahkamah dengan Mazlan dan TV3.

Bagaimanapun, penyelesaian itu tidak membabitkan Utusan Melayu yang turut dinamakan dalam saman itu.