Debat bukan mentaliti pembangkang, Nik Nazmi tempelak Zuraida

Nik Nazmi berkata, debat juga tidak menganggu tugas ahli politik dalam kerajaan.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menempelak Ketua Wanita parti itu Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini berkata debat merupakan mentaliti pembangkang.

Nik Nazmi berkata, dakwaan itu tidak adil kerana debat merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang membolehkan ahli parti atau rakyat menilai seseorang pemimpin.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu menambah, tugas dalam kerajaan dan aktiviti debat juga merupakan 2 perkara yang berbeza.

“Bagi saya sekarang kita adalah kerajaan dan Umno sendiri berdebat dalam pemilihan parti mereka, Pemuda PKR mengadakan debat sejak 2011, kemudian 2014 bila saya bertanding pun kami adakan debat. Bagi saya itu budaya demokrasi yang sihat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, Zuraida menepis cabaran berdebat daripada Fuziah Salleh, sebaliknya meminta calon ketua Wanita PKR itu menumpukan perhatian kepada tugas kerajaan beliau daripada membuang masa berdebat.

Beliau berkata terdapat banyak isu yang perlu diselesaikan oleh Fauziah selaku timbalan menteri hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan buang masa dengan perkara macam ini. Ini mentaliti pembangkang yang masih tidak berubah,” katanya.

Sebelum ini, Fuziah mencabar calon ketua Wanita PKR Haniza Talha untuk berdebat berhubung dakwaan beliau bahawa Wanita PKR bawah kepimpinan Zuraida tidak membawa banyak perubahan dan berdepan banyak kepincangan.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, debat juga tidak menganggu tugas ahli politik dalam kerajaan.

“Bila kita seorang menteri, seorang ahli politik, seorang wakil rakyat memang kita ada pelbagai tugas, semua itu kita boleh imbangi dan saya tidak lihat itu satu alasan (untuk tidak berdebat).

“Orang nak tahu apa dasar kita, amalan kita. Bagi PKR yang ada 800,000 ahli, debat adalah salah satu cara untuk sampai epada seramai mungkin ahli. Kebetulan ada media, yang selama ini susah nak laporkan tentang kita, melahirkan kesanggupan untuk menjadi tuan rumah debat itu,” katanya.