Dr M harap China bantu Malaysia selesai isu fiskal

Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang selepas sidang media bersama di Beijing, hari ini. (Gambar Bernama)

BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin meminta Beijing bersimpati dengan isu fiskal semasa Malaysia.

Perdana menteri berharap China akan memahami situasi itu dan membantu menyelesaikannya.

“Kami berharap China memahami masalah kami dan akan bersimpati dengan masalah fiskal dalaman kami,” katanya pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya, Li Keqiang selepas mesyuarat dua hala di sini.

Dr Mahathir dalam rangka lawatan rasmi 5 hari di China.

“Bantu kami menyelesaikan sesetengah daripada masalah fiskal kami,” kata Dr Mahathir.

Kerajaan baru Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir berdepan hutang kira-kira RM1 trilion didakwa akibat salah urus kewangan negara oleh kerajaan terdahulu.

Dr Mahathir berkata, hubungan dua hala Malaysia-China perlu diperkukuhkan lagi.

Beliau berkata, inovasi dan kemajuan teknologi China dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Sementara itu, Li berkata, wujud keperluan untuk dipertingkatkan lagi hubungan dua hala yang baik ke tahap baru menerusi jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang dan dimensi baru.

Perdana menteri China itu berkata, kedua-dua pihak bersetuju mengekalkan hubungan baik demi manfaat rakyat mereka.

Mereka juga menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan harapan memperbaiki imbangan perdagangan antara mereka.

“China bersedia meningkatkan import barangan kompetitif dari Malaysia, terutamanya minyak sawit dan produk pertanian lain.”

Mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Dr Mahathir menegaskan perdagangan bebas sepatutnya menjadi pilihan semua negara.

Bagaimanapun, katanya, perdagangan bebas semata-mata tidak memadai kerana ia perlu diiringi perdagangan adil yang akan bermanfaat negara kecil dan miskin.

Menjawab soalan sama, Li berkata, pergeseran perdagangan dalam jangka pendek akan mendorong negara mencari pasaran alternatif.

Bagaimanapun, katanya, persekitaran perdagangan dan ekonomi global akan menjadi lebih teruk jika situasi itu berlarutan.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian 5 dokumen antara kedua-dua negara di bangunan Great Hall of the People.

Dokumen itu ialah Perjanjian Lanjutan bagi Pengaturan Tukaran Mata Wang Dua Hala; dan Protokol Pemeriksaan dan Keperluan Kuarantin bagi Eksport Durian Sejuk Beku.

Turut ditandatangani ialah memorandum persefahaman (MoU) bagi Pembangunan dan Promosi Biofuel Minyak Sawit Malaysia; MoU bagi kerjasama dalam Teknologi Jalan Bitumen Berturap Getah dan Automasi dan Mekanisme Torehan Getah; dan MoU bagi Kerjasama Kawal Selia Perakaunan dan Audit.