India berjaya uji peluru, bom berpandu anti-kereta kebal

Senjata itu mampu memusnahkan pelbagai sasaran di darat menerusi penggunaan navigasi yang tepat. (Gambar Bernama)

NEW DELHI: India berjaya melakukan ujian penerbangan membabitkan peluru dan bom berpandu anti-kereta kebal yang dibangunkan secara tempatan dan boleh dilancarkan dari helikopter iaitu sistem senjata pintar anti-pangkalan udara (SAAW) di barat negeri Rajasthan, kata pegawai pada Isnin.

Menurut agensi berita China Xinhua, ujian itu dijalankan di Pokhran dalam daerah Jaisalmer yang terletak kira-kira 452 km di barat Jaipur, ibu negeri Rajasthan.

“HELINA telah melalui ujian penerbangan dengan jayanya dari helikopter tentera di kawasan Pokhran semalam,” kata seorang jurucakap kementerian pertahanan.

“Sistem senjata itu telah diuji sepenuhnya.”

Menurut para pegawai, pelepasan sistem senjata itu berjalan dengan licin dari pelantar pelancar, menjejaki sasaran menerusi semua laluannya sebelum mengenainya dengan tepat.

Para pegawai kanan Organisasi Pembangunan Penyelidikan Pertahanan India (DRDO) dan tentera mengambil bahagian dan menyaksikan ujian penerbangan itu.

Secara berasingan, bom berpandu yang direka dan dibangunkan secara tempatan itu telah menjalani ujian penerbangan dengan jayanya dari sebuah pesawat Tentera Udara India di kawasan Chandan.

Para pegawai berkata senjata itu mampu memusnahkan pelbagai sasaran di darat menerusi penggunaan navigasi yang tepat.

Menteri Pertahanan India Nirmala Sitharaman mengucapkan tahniah kepada DRDO atas kejayaan ujian penerbangan itu yang mampu mengukuhkan lagi keupayaan pertahanan negara itu.