Kementerian sahkan terima aduan doktor berbahasa Mandarin di hospital

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Azman Abu Bakar menerima aduan itu secara lisan yang dilaporkan di Pulau Pinang.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengakui menerima aduan berhubung penggunaan bahasa Mandarin dalam kalangan pengamal perubatan sewaktu proses pembelajaran di dalam kawasan hospital.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Azman Abu Bakar yang mengatakan aduan tersebut diterima dari satu laporan di Pulau Pinang.

“Kita menerima laporan itu secara lisan sahaja. Pihak kami telah mengarahkan pengarah kesihatan negeri untuk membuat siasatan dengan bertanyakan hal itu kepada semua kakitangan hospital yang terlibat.

“Jika hasil siasatan mendapati ianya benar, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika sidang media hari ini.

Semalam, media melaporkan satu pendedahan oleh seorang pegawai perubatan yang mendakwa majoriti pakar perubatan membuat perbincangan dan pembelajaran menggunakan bahasa Mandarin.

Laporan itu menyebut, meskipun sudah beberapa kali disuruh untuk menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, selalunya permintaan tersebut diabaikan.

Perkara ini, katanya, menyebabkan berlaku halangan dalam proses pembelajaran terutama dalam memahami terma-terma perubatan semasa membuat rondaan hospital.

Mengulas lanjut, Azman bagaimanapun berkata, komunikasi antara pihak doktor dan pesakit menggunakan bahasa selain 2 bahasa dominan itu.

“Ianya normal antara pihak doktor dan pesakit kerana di sesetengah situasi, pesakit mungkin tidak fasih dengan bahasa Inggeris dan Melayu, jadi penggunaan bahasa ibunda masing-masing boleh membantu.

“Tetapi jika ianya benar berlaku dalam kalangan pengamal perubatan sendiri, siasatan segera sedang dijalankan dan tindakan susulan mungkin diambil,” katanya.

Sementera itu, Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, beliau memahami bagaimana keadaan dan situasi itu boleh berlaku.

Namun katanya, apa yang penting adalah doktor dan pesakit boleh berkomunikasi demi kebaikan dan kemajuan kesihatan masing-masing.