Lombok bergegar lagi, 5 maut, lebih 40 cedera

Angka kematian akibat gempa bumi sejak 27 Julai lalu mencecah 465 orang. (Gambar Bernama)

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 5 orang terbunuh manakala 40 lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 6.5 dan 6.9 sekali lagi menggegarkan Pulau Lombok di Indonesia tengah pada pagi dan malam Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan agensi pengurusan bencana pada Isnin.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa pertama berlaku pada 11.10 pagi (waktu tempatan) manakala satu lagi melanda pada pukul 9.56 malam.

Gegaran itu terus menggandakan kemusnahan yang berlaku susulan gempa bumi bermagnitud 6.4 dan 7.0 yang melanda pulau itu pada 27 Julai dan 5 Ogos, lapor Xinhua memetik kenyataan ketua unit agensi pengurusan bencana kecemasan, Agung Pramudja.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 200 rumah rosak teruk akibat gegaran itu yang menyaksikan kemusnahan ketara dan menyebabkan ramai penduduk meninggalkan rumah mereka dan berlindung di kawasan perkhemahan sementara.

Menurut agensi pengurusan bencana itu, angka kematian akibat gempa bumi sejak 27 Julai mencecah 465 orang.

Indonesia terdedah kepada bencana gempa bumi kerana ia terletak di zon “Lingkaran Api Pasifik”.