Majlis penasihat diketuai Daim tunggu arahan Dr M untuk peranan berikut

Daim Zainuddin berkata, CEP sudah menyelesaikan mandatnya.

PETALING JAYA: Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hari ini mengumumkan mereka sudah menyempurnakan mandat dan akan menyerahkan cadangannya kepada perdana menteri selepas beliau kembali dari China.

“Cadangan dalam laporan ini menyentuh keperluan untuk menambah baik tadbir urus, kesejahteraan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi mampan,” kata Tun Daim Zainuddin yang mengetuai CEP dalam sidang media di Menara Ilham.

“Tiada penyelesaian segera terhadap masalah yang dikenal pasti CEP dan masih ada banyak cabaran yang menanti. Kerajaan dan rakyat perlu bersedia membuat dan menerima keputusan sukar untuk manfaat jangka panjang Malaysia.”

Dr Mahathir mengumumkan penubuhan CEP 2 hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu untuk menstabilkan kerajaan yang dibarisi menteri tidak berpengalaman.

CEP diketuai Daim dan dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun Tan Sri Robert Kuok.

Bekas menteri kewangan itu berkata, mandat CEP ialah 100 hari.

Daim berkata, mereka berkhidmat secara sukarela untuk CEP dan semalam ialah hari terakhir majlis itu.

“Apabila dia (Dr Mahathir) kembali, saya akan tanya apa peranan kami yang difikirkannya,” katanya merujuk pengumuman perdana menteri yang masih memerlukan perkhidmatan CEP.

Daim berkata, peranan CEP ialah menasihat kerajaan, termasuk perkara berkaitan China.

“Peranan kami ialah mengkaji, menganalisis dan membuat cadangan. Saya tidak pasti jika mana-mana cadangan itu akan digunakan.”

Katanya, beliau tidak dapat mendedahkan cadangan itu kerana terikat kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Saya berharap semua saranan kami akan diumumkan, tetapi terpulang kepada kerajaan.”

Daim berkata, terdapat banyak “kejutan” ketika mereka meneliti agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Terlalu banyak kejutan. Saya ada jantung yang kuat. Kerja sudah siap sekarang. Kami sudah menyelesaikan mandat kami.”

Daim berkata, sesetengah cadangan itu memerlukan pindaan undang-undang dan kini terpulang kepada kerajaan untuk melakukan apa yang perlu.

Beliau yang enggan mengulas berapa banyak cadangan dikemukakan kepada kerajaan berkata, ia lebih kepada pendidikan dan pembentukan sebuah masyarakat profesional.

“Isunya rumit. Hampir sama dengan rompakan berkumpulan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Ditanya pengaruh CEP terhadap pelantikan ketua syarikat berkaitan kerajaan, Daim berkata, CEP tidak ada kaitan dengannya kerana itu adalah keputusan kerajaan sepenuhnya.

“Kuasa apa yang kita ada? Selain mengumpul maklumat, menganalisis dan mengesyorkan?

“Kami cuba melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan mengemukakan cadangan.”

Daim turut menyentuh beberapa isu:

Mengenai kos ECRL

Kosnya terlalu tinggi. Projek itu tidak dapat dilaksanakan. Saya telah menasihatkan kerajaan dan biar mereka memikirkannya. Mana-mana sektor swasta (syarikat) yang fikir mereka boleh menjana keuntungan biar mereka lakukan. Hasil pendapatan perlu melebihi kos operasi.

Mengenai apa yang perlu pembaharuan

Kementerian Kewangan. Ia mesti membawa masuk wang dan memastikan hasil pendapatan tidak dibazirkan. Tiada rasuah dan tidak mengkritik perkhidmatan awam.

Mengenai tindakan undang-undang terhadap bekas menteri

Rakyat mestilah bersabar. Untuk mendakwa seseorang perlu siasatan terlebih dahulu. Keutamaan sekarang ialah memastikan individu tertentu disasarkan terlebih dahulu. Anda perlu tanya peguam negara jika beliau sedia mendakwa mereka. Ya, kita mahu melihat mereka yang bersalah dihukum, tetapi perlu ada bukti terlebih dahulu.

Kereta nasional ke-3

Idea perdana menteri itu tidak begitu menjurus kepada penubuhan syarikat kereta ke-3, tetapi untuk menambah baik sektor pembuatan. Di sanalah masa depannya.

Perdana menteri ke-8?

PH sudah memutuskan calonnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan Daim di belakang kempen halang Anwar jadi PM

Saya tidak terbabit (dalam parti lain).