Menteri: Lambakan kosmetik tiruan, kepekaan rakyat penting

Dzulkefly berkata, pemantauan secara aktif sedang dibuat dan tindakan akan diambil sekiranya pihak terlibat didapati menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan rakyat perlu peka dalam mengenalpasti pusat dan produk kosmetik yang diiktiraf dan bertauliah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, lambakan pusat dan produk kosmetik tidak bertauliah boleh ditangani dengan kepekaan dan keterbukaan pengguna yang berasa bertanggungjawab ke atas diri sendiri.

“Sebagai pengguna anda mesti tahu dan rasa bertanggungjawab. Anda mesti tahu ke mana anda tuju, sama ada tempat itu selamat, bertauliah ataupun tidak.

“Jangan nanti sudah cacat dan berlaku apa-apa kemudaratan, barulah nak salahkan pihak yang lain,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini, hari ini.

Isu lambakan perkhidmatan kosmetik tidak berdaftar dan bertauliah sekali lagi menjadi perdebatan di media sosial.

Beberapa aktivis perubatan mendedahkan bahaya dan kesan pengambilan produk dan amalan digunakan oleh sesetengah pihak yang mendakwa pakar perubatan.

Media sosial kecoh dengan pendedahan seperti perkhidmatan membuat pendakap gigi murah dan servis “whitening drip” di dalam kereta sedangkan perkhidmatan itu hanya boleh dijalankan oleh pakar perubatan yang berdaftar.

Pengarah Bahagian Amalan Perubatan Dr Ahmad Razid Salleh berkata, gejala itu boleh mengelirukan masyarakat awam dan pengguna.

“Jika pihak itu mendakwa dirinya pakar kosmetik dan membuat amalan seperti pakar kosmetik yang berdaftar, sedangkan dirinya tidak bertauliah dan berdaftar, dia boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perubatan atas kesalahan mengelirukan orang awam dengan tawaran perkhidmatan yang salah,” katanya.

Dzulkefly berkata, pemantauan secara aktif sedang dibuat dan tindakan akan diambil sekiranya pihak berkenaan didapati menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

“Program kesedaran sangat penting dan kementerian akan bekerjasama dengan industri dan persatuan pengguna dalam menyampaikan maklumat jelas supaya rakyat tidak mudah diperdaya,” katanya.