Musa Aman akan pulang tak lama lagi, kata polis

Fuzi Harun berkata, polis ada berhubung dengan Musa Aman.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dalam senarai orang dikehendaki Bukit Aman akan pulang ke negara ini dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita ada berhubung dengan Musa, tetapi saya tidak boleh mengatakan benar atau tidak beliau tiba ke negara ini hari ini seperti yang ditularkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, hari ini.

Musa perlu mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga sebelum 11 September ini atau mengosongkan kerusi itu.

Pada 15 Ogos lalu, Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, arahan itu selaras Perlembagaan Negeri yang memberi tempoh 3 bulan selepas sidang DUN pertama bagi wakil rakyat dipilih mengangkat sumpah.

DUN Sabah pertama kali bersidang pada 11 Jun lalu, selepas pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah pada PRU lalu, namun hilang peluang selepas beberapa Adun BN meninggalkan parti itu dan menyokong Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang kini ketua menteri baru.

Musa meninggalkan Malaysia pada 17 Mei lalu, dikatakan untuk menerima rawatan kesihatan di United Kingdom.

Sementara itu, Fuzi berkata, siasatan rapi sedang dilakukan berhubung kehilangan sebuah alat radiografi perindustrian (RDD) mengandungi isotop radioaktif, iaitu Iridium 192 yang dilaporkan pada 10 Ogos lalu.

Katanya, ini bukan kejadian pertama peralatan seperti itu hilang kerana kes sama pernah dilaporkan tahun lalu.

“Kejadian seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dan difahamkan pernah berlaku tahun lepas. Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak tampil memaklumkan menemui alat berkenaan setakat ini.”

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung kehilangan RDD seberat 23kg yang berharga kira-kira RM75,000 milik sebuah syarikat di Shah Alam.

Alat itu dilaporkan hilang ketika dibawa pulang 2 juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara 2 pagi hingga 3 pagi 10 Ogos lalu.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna pihak lain, termasuk pengganas untuk membuat bom.

Fuzi mengesahkan 2 pekerja warga tempatan syarikat itu yang direman sehari selepas kejadian, dibebaskan Jumaat lalu selepas keterangan mereka direkodkan.

Dalam perkembangan lain, Fuzi berkata, pihaknya sedang bekerja sama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menyiasat laporan dan mengenal pasti suspek berhubung penemuan bom di Narathiwat, selatan Thailand yang didakwa dibuat di negara ini.

“Kita sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat.”

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, laporan penemuan bom itu yang turut menyenaraikan nama 8 suspek akan diserahkan kepada Bukit Aman.

Ini selepas polis Thailand menemui 41 butir bom buatan sendiri bersama peledaknya di dalam sebuah trak pikap ketika sekatan jalan di Kampung Saring, daerah Takbai, Jun lalu.