Najib: Tamatkan khidmat CEP maknanya kembali kepada sistem betul

Najib Razak berkata, anggota CEP tidak dipilih rakyat dan tidak tertakluk kepada angkat sumpah jawatan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyambut baik pengumuman Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang bertemu buat kali terakhir semalam kerana penubuhannya tidak sejajar Perlembagaan Persekutuan.

Bekas perdana menteri itu berharap kuasa Kabinet dikembalikan selepas berakhirnya mandat CEP yang diketuai bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

“Mereka kembali kepada sistem kerajaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

“Itu cara sepatutnya untuk kita tadbir negara berdasarkan Perlembagaan,” katanya dalam wawacara dengan FMT di kediaman peribadinya di sini, hari ini.

Daim yang mengetuai CEP berkata, mandat 100 hari majlis itu berakhir semalam dan mereka sedang menyediakan laporan berhubung kerjanya selama 3 bulan ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan CEP 2 hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu untuk menstabilkan kerajaan yang dibarisi menteri tidak berpengalaman.

CEP diketuai Daim dan dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun Tan Sri Robert Kuok.

Ramai ahli Parlimen mempersoalkan bidang kuasa CEP.

Najib berkata, sistem tadbir urus Malaysia memberi kuasa mutlak kepada Kabinet yang terdiri daripada ahli Parlimen dipilih rakyat.

“Ahli Majlis Penasihat Kerajaan tidak dipilih rakyat dan mereka tidak mengangkat sumpah jawatan untuk mempunyai akses kepada rahsia kerajaan dan sebagainya. Itu satu kemestian dalam menjadi menteri Kabinet.”