PAS, Umno masih sukar tawan hati pengundi Selangor

Oleh Moaz Nair

PAS dan Umno begitu ghairah dengan strategi 3 penjuru di Selangor menghadapi pilihan raya umum ke-14. Percaturan politik ini mungkin bersandarkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016. Umno menang dalam kedua-dua PRK ini dengan menewaskan calon PAS, Amanah dan PKR.

Umno menyusun strategi yang sama dalam PRU ke-14 tetapi kali ini dengan permainan politik yang lebih licik. Umno dan PAS dilihat rakyat Selangor sebagai “sahabat karib” menjelang PRU ke-14. PAS tidak lagi menjadikan Umno beg penumbuk dan ini pula dibalas dengan baik oleh Umno atas dasar persahabatan politik.

Orang berbudi kita berbahasa, kata PAS. Beg penumbuk kedua-dua parti ini sepanjang kempen menjelang PRU ke-14 ialah Pakatan Harapan (PH), terutama DAP dan Amanah, dengan harapan dapat menarik pengundi Melayu.

Ramalan mereka ternyata meleset kali ini. PAS tidak menjangka pertandingan 3 penjuru boleh merugikan parti itu dan juga Umno. PAS memang sukar mendapat undi bukan Melayu kerana parti ini berteraskan agama. Umno masih boleh meraih sedikit undi bukan Melayu. Mungkin juga percaturan politik PAS dan Umno hanya untuk melihat PH kecundang di Selangor.

Tewas teruk sekali

Harapan mereka mungkin dengan kemenangan Umno-BN dan juga beberapa kerusi yang boleh dimenangi PAS akan membawa kepada kerajaan perpaduan di Selangor. PAS mempunyai cita-cita menjadi pemain utama dalam percaturan politik ini. Dengan perpecahan undi, PAS juga mengharapkan boleh menang tipis dan menubuhkan kerajaan.

Paling tidak pun PAS dan Umno-BN mengharapkan kemenangan dengan majoriti mudah dengan pecahnya undi dalam pertandingan 3 penjuru. Mereka dilihat bersama dan sejiwa untuk menumbangkan kerajaan PH di Selangor.

Dalam PRU14, PAS bertanding di 49 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan hanya menang 1 kerusi. Umno-BN pula bertanding di semua 56 kerusi dan hanya menang 4 kerusi. PKR bertanding di 56 kerusi dan menang 51 kerusi. Bagi kerusi Parlimen pula, PAS bertanding di 21 kerusi dan kalah semua kerusi, Umno-BN bertanding di 22 kerusi dan hanya menang 2 kerusi. PKR pula bertanding 22 kerusi dan menang 20 kerusi.

Malah 11 calon DUN dan 4 calon Parlimen PAS hilang wang pertaruhan. Ini mengecewakan PAS kerana mereka tewas dengan teruk sekali. Hampa dengan kegagalan ini PAS tidak lagi boleh menjadi parti penentu untuk menubuhkan kerajaan di Selangor.

Majoriti calon PAS pula dilantik dari kalangan profesional dan bukan lagi dari golongan ulama dengan tujuan untuk meraih undi golongan celik huruf di Selangor. Bagi Umno-BN pula keramat yang berlaku di Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada PRK 2016 tidak berulang. Natijahnya, PAS dan Umno kalah teruk di Selangor.

Tidak lama selepas PRU ke-14, luka lama PAS terguris kembali. Untuk mengelak pisang berbuah 2 kali PAS dan Umno kini bersedia untuk mengelakkan pertandingan 2 penjuru. PAS mengambil langkah tidak bertanding PRK Sungai Kandis yang diadakan baru-baru ini dengan memberi laluan kepada calon Umno.

Kini giliran Umno pula untuk memberi laluan kepada PAS untuk bertanding dalam PRK Seri Setia yang akan diadakan 8 September ini. Nampaknya persepakatan PAS dan Umno mungkin akan membawa mereka ke pelamin politik tidak lama lagi jika langkah ini mendatangkan hasil yang diharapkan.

Dalam pada itu, menurut 1 kajian baru-baru ini PH setelah 100 hari memerintah berjaya meraih populariti melebihi 70%. Jelas ini menjadi petanda baik bagi gabungan itu. Umno dan PAS sedar untuk mengalahkan calon PH – penyandang kuasa sekarang – agak sukar jika berlaku pertandingan 2 atau lebih penjuru.

Kaum, agama tak akan berkesan

Oleh kerana PAS memilih untuk keluar dari Pakatan Rakyat sebelum PRU ke-14 dan bertanding bersendirian dalam pertembungan 3 penjuru, nasib tidak menyebelahi parti ini. Selepas berputih mata di Selangor dalam PRU ke-14, kini PAS kelihatan sudah mahu menukar haluan politiknya.

PAS akan bertarung dengan calon PH dalam PRK Seri Setia dan mengharapkan Umno memberi sokongan kepada calon mereka. Umno dalam pertarungan di Sungai Kandis juga mengharapkan PAS memberi sokongan kepada calon mereka. Malangnya, menurut analisis pasca PRK Sungai Kandis, hasrat untuk mendapat sokongan pengundi PAS tidak menjadi kenyataan. Umno gagal mendapat sokongan yang ketara dari penyokong PAS bagi calonnya.

Apakah kali ini penyokong Umno pula akan bertindak balas dengan tidak memberi undi kepada calon PAS di Seri Setia dan membiarkan PAS bersendirian? Besar kemungkinan perkara ini akan berlaku.

Di imbas balik, jika sekiranya 19,000 pengundi di Sungai Kandis yang keluar mengundi dalam PRU le-14 untuk PAS dan Umno-BN, keluar sekali lagi untuk memberi undi kepada Umno sudah pasti calon BN dapat menewaskan calon PKR.

Yang menghampakan PAS dan Umno hanya 49.4% dari 50,800 pengundi berdaftar keluar mengundi berbanding 85.6% dalam PRU ke-14. Calon PKR mendapat 15,423 undi dan calon Umno pula hanya 9,585 undi. Boleh diandaikan hampir separuh penyokong PAS dan Umno tidak merestui kerjasama kedua-dua parti itu.

Keputusan PRK Sungai Kandis juga menunjukkan calon Umno mendapat kurang dari 50% undi berbanding PKR. Undi kepada PKR hanya menurun sebanyak 36% (dari 23,998 ke 15,427). Dalam PRU ke-14 calon PKR mendapat 23,998, (56%), Umno 11,518 dan PAS 7,573 (44%). Dalam PRK Sungai Kandis pula PKR mendapat 15,427 (62%), Umno 9,585 (38%). Calon Umno memperoleh majoriti 5,842 undi yang lebih rendah berbanding dengan yang diperoleh wakil rakyat lalu di kawasan itu, iaitu 12,480 undi.

Di Seri Setia pula dalam PRU ke-14 calon PKR mendapat 29,250 undi, calon Umno 9,878 undi dan calon PAS 4,563 undi. Apakah kemungkinan senario yang sama seperti di Sungai Kandis boleh berlaku di PRK Seri Setia di mana PAS akan tewas sekali lagi biarpun bersahabat baik dengan Umno?

Pengundi Sungai Kandis terdiri dari 72% Melayu, 16% India dan 12% China. Namun retorik agama dan kaum oleh PAS dan Umno tidak berjaya mempengaruhi 72% pengundi di kawasan ini. Pengundi mengikut pecahan kaum di Seri Setia pula terdiri dari Melayu 52%, Cina 18% dan India 29%.

Jika melihat kepada komposisi kaum, haluan pengundian di Sungai Kandis dan peratus keluar mengundi yang sama berlaku di Seri Setia maka sukar bagi calon PAS menang. Lagi pun sentimen kaum dan agama tidak akan memberi berkesan di Seri Setia memandangkan pengundi bukan Melayu terdiri daripada 48% berbandingan dengan hanya 52% pengundi Melayu.

Umno dan PAS yang mainkan sentimen kononnya kerajaan pusat dikawal oleh DAP dan juga orang Kristian, dan kononnya kedudukan kaum Melayu dan agama Islam akan terancam bawah kerajaan PH tidak memberi kesan di Selangor walaupun Sungai Kandis dan Seri Setia majoriti penduduk orang Melayu. Ini kerana rata-rata pengundi Melayu di negeri ini matang dan lebih pragmatik dalam menghayati politik.

Belum mampu beri sentakan

Jelas dalam PRK Sungai Kandis persefahaman Umno dan PAS “tidak begitu menjadi”. Apakah PAS dan Umno akan sekali lagi mengalih tiang gol semasa berkempen selama 21 hari di Seri Setia untuk mempengaruhi pengundi bukan Melayu? Meskipun calon Umno bersungguh-sungguh memainkan sentimen agama dan kaum sepanjang 14 hari tempoh berkempen, namun ia belum cukup mampu mempengaruhi pengundi di situ yang lebih 70% adalah Melayu.

Seruan pemimpin PAS kepada penyokong parti meminta supaya menyokong calon BN pada PRK tersebut juga dilihat tidak cukup kuat untuk mengalahkan calon PKR. Justeru, keputusan PRK DUN Sungai Kandis jelas memperlihatkan “kerjasama” yang terjalin antara Umno dan PAS masih belum mampu memberi sentakan politik kepada PKR di situ.

PAS sanggup mengetepikan golongan agamawan atau dipanggil ulama sebagai calon dan berusaha menonjolkan tokoh berlatar belakangkan profesional di Selangor tetapi masih calon-calon ini tidak mendapat tempat di hati pengundi. Pada persepsi rakyat pula PAS dikatakan membawa pendekatan feudalistik dalam retorik politik dengan menggunakan agama. Pendekatan sebegini tidak diminati pengundi.

Selangor negeri yang maju di mana majoriti pengundi adalah mereka yang berpendidikan tinggi. Bukan agama Islam tetapi ideologi dan pendekatan politik ala PAS yang ditolak pengundi Melayu di negeri ini. Kajian juga menunjukkan rakyat Selangor lebih berminat kepada pendekatan Islam sederhana tetapi progresif yang di bawa Amanah khususnya dan PH amnya.

Selain itu, kajian terkini menunjukkan kepimpinan dan kewibawaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mantap – walaupun dalam usia beliau melewati 90 puluh tahun – dikagumi rakyat Selangor dan negara amnya. Selangor pula maju jaya di bawah kepimpinan yang ada sekarang.

Maka besar kemungkinan, pengundi tidak sanggup mengacau kestabilan politik yang sedia ada dan ini menjadi lebih sukar lagi bagi gabungan PAS dan Umno untuk menggoyangkan penguasaan PH di Selangor dan mengalahkan calon PH di Seri Setia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.