PAS-Umno pernah sepentas sejak awal Merdeka, kata Hadi

Hadi berkata, walaupun kedua-dua parti berasaskan Melayu dan Islam itu berbeza pandangan dalam perjuangan, ia boleh dilupakan apabila ada keperluan mendesak untuk menyelamatkan negara.

SUBANG JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa PAS dan Umno pernah “bersama” atas satu pentas sejak awal Merdeka lagi, bukannya bermula pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Bahkan Hadi berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu bersama Umno juga pernah bersama-sama sepentas dengan PAS dalam PRK DUN Kapar, Selangor selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Apabila berlaku desakan untuk kemerdekaan pada 1957, PAS berdiri sepentas dengan Umno, dalam perhimpunan di Melaka, negeri pertama di Semenanjung yang dipijak penjajah, dalam himpunan menuntut kemerdekaan, kita berdiri bersama.

“Kali kedua PAS sepentas dengan Umno adalah selepas peristiwa 13 Mei 1969, pemimpin pertama yang berdiri sepentas dengan PAS adalah Dr Mahathir Mohamad ketika PRK di Kapar, Selangor. Dr Mahathir berucap di atas pentas PAS,” katanya dalam satu ceramah di Lembah Subang, malam tadi.

Kenyataan Hadi itu dibuat setelah kedua-dua parti dilhat berusaha untuk menjalin hubungan sebagai satu cara menghadapi Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14.

Abdul Hadi berkata, walaupun kedua-dua parti berasaskan Melayu dan Islam itu mempunyai perbezaan pandangan dalam perjuangan, namun ia boleh dilupakan apabila ada keperluan mendesak untuk menyelamatkan negara.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama PAS berdiri satu pentas dengan Umno, bila ada masalah besar kita berada atas satu pentas walaupun berbeza fahaman dan fikiran.

“Kita berbeza pendapat, semasa kita jadi pembangkang, PAS hadapi pelbagai isu, namun kita membangkang ada batasnya,” katanya.

Tambah Hadi, PRK DUN Seri Setia memerlukan kerjasama di antara Umno dan PAS memandangkan ada pengundi muda yang tidak memahami sejarah dan menganggap PRK sebagai suatu perkara main-main.

“Kita hadapi PRK yang tidak difahami generasi baru, menganggap PRK ini main-main, hendak lepas geram tanpa mengira natijah, akibatnya bukan ketika mengundi tetapi 5 tahun akan datang,” katanya.

Turut hadir bersama Hadi dalam ceramah menyokong calon PAS, Dr Halimah Ali ialah Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya sudah arahkan 12,000 ahli Umno, di 70 cawangan dalam DUN Seri Setia untuk mengundi calon PAS dalam PRK kali ini, inilah komitmen kita,” kata Ismail dalam ceramah itu.