Pemimpin BN, TV3 mahu selesai saman fitnah Anwar luar mahkamah

TV3 dan Utusan Melayu berdasarkan sidang media Mazlan Ismail mendakwa Anwar Ibrahim merasuah hakim dan pendakwa raya.

KUALA LUMPUR: Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Datuk Dr Mazlan Ismail mencadangkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung saman terhadap mereka, dan satu pihak lagi, oleh pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar, ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua defendan mengemukakan cadangan bagi penyelesaian di luar mahkamah itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datin Faizah Jamaludin.

“Kami mengemukakan cadangan balas. Termanya kini dalam proses diselesaikan oleh kedua-dua defendan dan pihak kami,” katanya dan sambil menambah defendan ke-3, Utusan Melayu (M) Bhd dinasihatkan untuk mendapatkan arahan sama ada mahu selesaikannya ataupun tidak.

Beliau berkata mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mereka kembali bagi merekodkan penyelesaian itu.

Saman itu dijadualkan untuk perbicaraan hari ini.

Sementara itu, peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu berkata perbincangan berkaitan cadangan penyelesaian di luar mahkamah itu tidak membabitkan anak guamnya.

“Saya diminta mendapatkan arahan daripada Utusan berhubung pendirian akhbar itu,” katanya.

Anwar, yang hadir di mahkamah hari ini, memfailkan saman itu pada 15 Oktober 2015, mendakwa ketiga-tiga defendan mendakwa beliau merasuah hakim dan pendakwa raya.

Beliau mendakwa Mazlan mengadakan sidang media dan pada ketika itu mengeluarkan perkataan memfitnah berkenaan yang kemudian disiarkan TV3 dalam Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan oleh Utusan Melayu dalam akhbar Utusan Malaysia pada keesokkannya.

Anwar mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya dalam sidang media, yang membawa maksud beliau seorang tidak beretika, rasuah, tidak amanah dan tidak bermoral.

Anwar memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula perkataan memfitnah itu.

Mazlan ialah calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU13 yang diadakan pada Mei 2013. Beliau bagaimanapun kalah.