Pengasuh didakwa beri susu panas kepada kanak-kanak 3 tahun

Tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Bernama)

MELAKA: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan memberi susu panas sehingga menyebabkan lidahnya melecur, tahun lepas.

Martini Marjono, 25, didakwa melakukan perbuatan itu di No 51, Lorong 1, Jalan Desa Duyong 1, Taman Desa Duyong, pada jam 10.30 malam, 6 Jun 2017.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Martini yang juga ibu kepada kanak-kanak berusia 2 tahun, merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan dia bekerja kilang dan hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September untuk sebutan semula kes.