Putrajaya laksana skim insuran kesihatan untuk B40 awal tahun depan

Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya sudah berbincang dengan wakil pegawai tinggi kerajaan seperti Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini mengesahkan kementeriannya kini di peringkat akhir perbincangan dalam melaksanakan skim insuran bagi golongan pendapatan rendah (B40) seperti yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, perbincangan itu mengenalpasti beberapa mekanisme pelaksanaan dan ciri-ciri khas yang akan termasuk dalam skim tersebut.

“Kita akan bentangkan skim ini dalam Bajet 2019 dan pelaksanaan boleh dinikmati dijangka awal tahun depan.

“Kita sudah berbincang dengan wakil pegawai tinggi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan diwakili oleh Tony Phua,” katanya kepada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian itu hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Amalan dan Perubatan, Dr Razid Mohd Salleh dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Azman Abu Bakar.

Terdahulu, melalui manifesto PH menyebut Kementerian Kesihatan akan melaksanakan satu Skim Insurans Kesihatan bagi golongan B40 dalam tempoh 100 hari pemerintahan.

Namun, selepas 100 hari memerintah, kerajaan PH dilihat gagal menunaikan janji tersebut, hanya 2 janji daripada 10 janji sahaja tercapai iaitu mamansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) dan pelaksanaan Skim Caruman KWSP untuk suri rumah.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, skim ini sebagai langkah permulaan ke arah pembentukan skim insuran yang meliputi pelbagai peringkat masyarakat suatu hari nanti.

“Ini adalah satu benih yang kita ingin cambahkan menjadi satu insuran kesihatan masyarakat yang terbaik oleh kerajaan.

“Skim ini sangat berbeza dengan skim rawatan asas seperti iCare dahulu. Ianya satu manifestasi skim insuran yang melibatkan proses perubatan dan rawatan,” katanya.