Putrajaya sedia dana bina terowong air Perak ke Pulau Pinang, kata Xavier

Xavier berkata pelan rancangan penjualan air oleh Perak kepada Pulau Pinang telah tersedia dan satu mesyuarat antara kerajaan negeri itu akan diadakan.

BATU GAJAH: Kerajaan persekutuan bersedia menyediakan peruntukan bagi membina terowong air dalam usaha Perak menjual air terawat kepada Pulau Pinang, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pelan bagi rancangan penjualan air itu telah tersedia dan satu mesyuarat di antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

“Jika hasrat tersebut terlaksana, satu terowong (bagi laluan air) akan dibina dari Perak ke Pulau Pinang, namun ia memerlukan sediki masa dan kerajaan persekutuan akan memberi peruntukan untuk projek tersebut,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersempena pencalonannya sebagai naib presiden PKR, di sini semalam.

Pada 4 Ogos lalu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menyatakan cadangan kerajaan negeri untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang dan Selangor.

Mengenai cadangan penjualan air Perak kepada Selangor, Xavier berkata perkara itu belum dibuat secara rasmi memandangkan kerajaan pusat mahu memberi keutamaan kepada Projek Langat 2.

“Projek Langat 2 mempunyai 2 fasa, fasa pertama akan dilaksana sebelum 2023 dan sekarang perundingan antara Selangor dan pusat untuk memulakan fasa kedua,” katanya.