Rafizi berkempen di Sabah, layanan lebih baik bawah Anwar

Rafizi bercakap kepada ahli PKR Sabah di pelancaran Tabung Reformasi untuk dana parti.

KOTA KINABALU: Rafizi Ramli hari ini berkempen untuk jawatan timbalan presiden di Sabah, memberitahu ahli PKR bahawa Sabah akan diberi layanan lebih baik bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi, yang secara terbuka mengatakan dia bertanding jawatan nombor 2 parti untuk memastikan Anwar tidak diketepikan pentadbiran sekarang, berkata dia akan bekerja keras agar Putrajaya mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai entiti persekutuan Malaysia dan bukan dianggap salah satu daripada 14 negerinya.

“Sekian lama Sabah diketepikan Barisan Nasional,” katanya di satu program bersama ahli PKR Sabah hari ini.

“Adalah penting untuk pastikan Putrajaya menghormati Sabah, memastikan Sabah salah satu daripada 3 dan bukan satu daripada 14 negeri,” katanya.

Rafizi berkata memberikan status sama rata untuk Sabah dan Sarawak bawah Malaysia lebih penting daripada melantik timbalan perdana menteri daripada 2 negeri itu seperti yang dijanjikan PKR.

“Bagi saya itu lebih penting daripada janji jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

“Itu bermakna dana, perhatian dan kuasa harus dipulihkan sejajar dengan status itu. Apabila perkara itu tercapai, saya rasa tiada masalah untuk perdana menteri lantik seorang timbalan dari Sabah,” kata Rafizi.