Rafizi janji kembali hak Sabah selepas Anwar jadi PM

Rafizi Ramli berkata Sabah perlu diberi perhatian khususnya dari segi pembangunan.

KOTA KINABALU: Sabah perlu diberi perhatian khususnya dari segi pembangunan yang sama rata dengan Semenanjung, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata perkara itu perlu diberikan keutamaan kerana Sabah adalah 1 daripada 3 wilayah yang terlibat dalam pembentukan Malaysia.

“Saya melihat pembangunan infrastruktur khususnya jalan raya di Sabah ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung dan perkara itu perlu diberi perhatian dalam Malaysia baharu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Tabung Reformasi 20 Tahun, malam tadi. Turut hadir Pengerusi PKR Sabah Christina Liew.

Kehadiran Rafizi di Sabah adalah dalam siri kempen untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti itu dan bakal berdepan penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan mempertahankan jawatan itu.

Beliau berkata kerajaan persekutuan sebelum ini menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri Sabah atas tujuan pembangunan namun dana berkenaan tidak sampai ke tempat yang sepatutnya.

“Oleh itu diharapkan agar selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim (menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR) dilantik menjadi perdana menteri kelak, beliau akan segera bertindak mengembalikan keistimewaan Sabah,” tambahnya.

Sabtu lepas Rafizi tiba di Sabah untuk menghadiri program Bicara Reformasi di Sandakan dan Tawau sebelum meneruskan program berkenaan di Kota Kinabalu semalam.