Revolusi orang Asli Kuala Benut

Gambar Bernama.

Sekiranya tidak diperkenalkan identiti sebenar mereka, penulis pasti tidak akan tahu penduduk kampung yang penulis kunjungi itu adalah masyarakat Orang Asli suku Kuala.

Berkulit sawo matang seperti orang Melayu, berpakaian moden dan fasih berbahasa Melayu sehingga sukar untuk membezakan mereka dengan masyarakat Melayu yang tinggal berdekatan di sekitar Benut.

Penduduk Orang Asli Kuala ini menetap di Kampung Baru Kuala Benut, kira-kira 5km dari pekan Benut di daerah Pontian, Johor.

Penulis juga perlu mengakui sebelum menjejakkan kaki ke kampung ini, apa yang dibayangkan ialah keadaan kampung yang miskin, serba-serbi kekurangan termasuk masalah infrastruktur seperti kebanyakan kampung Orang Asli lain.

Tanggapan itu ternyata tersasar jauh!

Di hadapan mata penulis terdapat deretan rumah batu yang tersergam indah dengan hampir setiap rumah mempunyai kenderaan sama ada pacuan empat roda, kereta dan motosikal.

Bagi penulis keadaan itu sudah cukup menunjukkan kemampuan ekonomi penduduk kampung berkenaan, setanding atau mungkin lebih baik daripada penduduk kampung lain.

Perbezaan sikap dan cara mereka berkomunikasi dengan ramah juga sangat berbeza dengan kebanyakan Orang Asli yang biasanya sukar didekati, tebal dengan rasa malu dan kurang berkeyakinan terutama apabila bertemu dengan orang luar.

Pilih bidang keusahawanan

Pemikiran masyarakat Orang Asli suku Kuala ini yang ternyata sudah jauh ke hadapan menyebabkan mereka turut berani menyahut cabaran untuk menceburi bidang keusahawanan dan meninggalkan pekerjaan nelayan yang menjadi punca rezeki mereka sebelum ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Orang Asli Kampung Baru Kuala Benut, Amri Ahmad, hanya 30% sahaja keluarga yang masih mencari nafkah sebagai nelayan.

Sebanyak 50% keluarga di kampung berkenaan memilih bidang keusahawanan sementara sekitar 205 bekerja di jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Ketika ditawarkan penempatan baharu 55 tahun yang lalu, setiap keluarga diberikan sebidang tanah seluas kira-kira 0.8 hektar untuk didirikan rumah dan kebun bagi bercucuk tanam.

Tujuannya untuk mengubah kehidupan dan ekonomi penduduk yang sebelum ini bergantung hidup sepenuhnya sebagai nelayan.

“Sebab kehidupan sebagai nelayan ketika itu sangat sukar kerana pendapatan tak menentu. Bila musim laut bergelora, 3 hingga 4 bulan tidak ke laut. Terpaksa berjimat-jimat dengan apa yang ada.

“Apabila diberikan kebun, penduduk boleh bercucuk tanam untuk menambah pendapatan dan menampung keperluan hidup,” kata Amri kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Baru Kuala Benut baru-baru ini.

Dalam bidang keusahawanan, seramai 31 usahawan dengan pelbagai jenis produk dan perniagaan berjaya dilahirkan di kampung ini.

Mereka bukan sahaja mengubah ekonomi keluarga sendiri tetapi dalam masa yang sama membantu penduduk lain dengan memberikan peluang pekerjaan.

Antara jenis perniagaan tersebut ialah membekal sayur-sayuran ke Singapura, menghasilkan sarung parang, menternak lembu, mengusahakan ladang tebu, tanaman fertigasi, perusahaan kopek kerang, tempe, pembungkus otak-otak, produk belacan, ikan kering dan perniagaan runcit.

“Ekonomi penduduk sudah jauh meningkat apabila semakin ramai yang menceburi bidang usahawan. Kerjasama banyak pihak yang memberikan latihan dan kursus membantu membuka jalan kepada orang kampung di sini.

“Jika dahulu pendapatan tidak menentu, sekarang kami lega ada pendapatan lebih untuk menampung kehidupan,” katanya.

Kesedaran pendidikan yang tinggi

Pendidikan antara faktor penggerak perubahan minda penduduk untuk bersaing dan memajukan diri untuk keluar daripada kemiskinan.

Menurut Amri, isu buta huruf dan keciciran berjaya diatasi sejak generasi ke-3 apabila penekanan pendidikan oleh ibu bapa di sini. Hasilnya, tidak kurang 26 anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran sama ada di diploma dan ijazah.

“Bermula generasi ke-3, hampir 90% penduduk sudah ke sekolah dan soal keciciran bukan lagi isu bagi generasi ke-4 di kampung ini.

“Mereka yang berjaya dalam pelajaran ini sentiasa menjadi inspirasi kepada anak-anak kampung yang lain untuk mengikut jejak ke menara gading,” katanya.

Kemudahan pengangkutan yang disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut menggalakkan anak-anak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Benut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Benut, kira-kira 5km dari kampung.

Beliau berkata, ketika kampung ini baharu dibuka, guru dari Benut datang ke kampung untuk mengajar. Sekitar tahun 70an, anak-anak kampung baru bersekolah di Benut dengan menaiki sampan melalui Sungai Benut atau dengan berjalan kaki sejauh lebih kurang 6km pergi dan balik setiap hari.

“Saya sendiri berjalan kaki dan naik sampan untuk ke sekolah dahulu. Anak-anak sekarang beruntung kerana kemudahan disediakan. Mereka perlu gunakan segala kemudahan ini untuk fokus meningkatkan diri dalam pendidikan agar mereka boleh membawa lebih banyak perubahan kepada kampung mereka,” tambahnya.

Cabar diri dalam keusahawanan

Bagi Rosnah Ali, 47, keluar daripada kepompong kemiskinan menjadi matlamat utamanya dan untuk meraih matlamat itu, beliau mencabar dirinya dengan menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal sayur-sayuran ke Singapura.

Beliau, generasi ketiga penduduk Kampung Baru Kuala Benut dan antara yang terawal menceburi bidang perniagaan.

Setelah 18 tahun bergelar usahawan, beliau masih mampu bertahan dan bersaing dengan peniaga-peniaga lain yang menjalankan perkhidmatan yang sama.

Serai, lada, lengkuas, ubi, nangka dan pisang antara sayur-sayuran yang sentiasa mendapat permintaan daripada peniaga runcit yang merupakan pelanggan tetapnya sejak mula menceburi perniagaan tersebut.

Dua kali seminggu iaitu hari Selasa dan Jumaat, Rosnah akan membuat penghantaran ke Singapura setelah mengambil bekalan dari peniaga sayur-sayuran kampung di sekitar Benut, Pekan Nenas dan Parit Raja.

“Saya juga ambil bekalan dari Pasar Batu Pahat. Biasanya saya akan bergerak dari rumah lepas maghrib dan sampai di Singapura akan terus letakkan sayur-sayuran yang ditempah di hadapan kedai pelanggan.

“Pagi keesokannya, baharu saya datang semula untuk mengutip bayaran,” katanya kepada Bernama.

Rezekinya akan bertambah apabila hampir hari raya puasa dengan membekalkan ketupat lepat, lontong dan lemang ke Singapura.

Setiap tahun tidak kurang 20,000 biji ketupat lepat disiapkan untuk dihantar ke sana, katanya.

Beliau juga menggajikan penduduk kampung bagi menyiapkan tempahan sebanyak itu yang biasanya dihantar ke Singapura tiga hari sebelum hari raya.

“‘Permintaan memang sentiasa ada cuma antara larat atau tidak saja untuk membuatnya. Keuntungan jualan adalah bonus kerana hasilnya untuk sekali jualan ketupat lepat, lontong dan lemang lebih kurang sama dengan jualan sayuran untuk sebulan,” katanya yang menjana pendapatan lebih kurang RM30,000 sebulan hasil jualan sayur-sayuran kampung.

Menurut Rosnah, berniaga bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan tetapi yang paling penrting ilmu dan pengalaman yang diperolehi untuk terus berdikari, bersaing dengan orang lain bagi memajukan diri.

Semangat ini perlu ada pada Orang Asli dan tidak boleh takut-takut mencuba, katanya.

Sejarah masyarakat Asli Kuala

Orang Kuala mengikut sejarahnya dipercayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan berhampiran pantai Sumatera. Laut menjadi sebahagian hidup mereka dengan mencari rezeki sebagai nelayan sepertimana Orang Asli suku Seletar dan Mahmeri serta Orang Bajau Laut di Sabah

Berkulit hitam dan berambut kerinting adalah bentuk asal rupa paras suku Kuala yang terdapat di pesisir pantai selatan negeri Johor. Lebih kurang 4,000 Orang Asli Kuala menetap di kuala sungai antara Pontian hingga ke Batu Pahat seperti di Benut, Kampung Baru Kuala Benut, di Rengit, Kampung Bumiputra Dalam, di Senggarang, Kampung Seri Pantai, di Batu Pahat Kampung Desa Seri Banang dan di Kota Tinggi, Kampung Sungai Layau.

Mendiami kawasan yang dikelilingi masyarakat Melayu menyebabkan kehidupan dan bahasa yang dituturkan dipengaruhi dengan budaya dan adat resam Melayu.

Kampung Baru Kuala Benut adalah sebuah kampung tersusun yang dibuka khusus untuk penempatan Orang Asli Kuala yang sebelum ini tinggal di tepi muara Sungai Benut.

Selepas dibuka pada tahun 1963, kampung ini kini diwarisi generasi ke-3 dan ke-4 yang merupakan cucu dan cicit penduduk terawal di sini.

Perkahwinan campur dengan orang Melayu dan Cina menyebabkan kulit mereka lebih cerah dengan wajah lebih mirip kepada orang Melayu.

Ini membezakan penduduk kampung yang berjumlah 580 orang daripada 120 keluarga di sini dengan orang Kuala di kawasan lain seperti Rengit dan Sanggarang yang masih boleh dilihat keasliannya berdasarkan rupa paras dan warna kulit mereka.