Saya akan ubah pesawah, nelayan jadi lebih berilmu, kata Salahuddin

Salahuddin Ayub juga akan menjenamakan semula NFC dan melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak mengenai Bernas.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menjangkakan akan membentangkan hala tuju baharu kementeriannya awal Oktober ini.

Beliau berkata hala tuju itu diambil melalui pandangan semua pihak yang melihat masalah yang menghambat kementeriannya ketika ini.

“Saya akan bawa hala tuju baru, saya akan isytiharkan nanti,” katanya kepada FMT dalam wawancara baru-baru ini di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Salahuddin berkata terdapat 5 contoh hala tuju baharu yang akan difokuskannya dalam pembentangan itu nanti.

Pertama, katanya, kementerian akan memfokuskan bagaimana cara untuk memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang mengamalkan pertanian moden.

“Kalau tak ganjak ke arah itu, kita tidak bergerak ke mana-mana,” katanya.

Salahuddin berkata, hala tuju ke-2 adalah kementerian perlu serius terhadap faktor generasi muda dan memikirkan cara untuk menarik perhatian mereka untuk terlibat dalam sektor tersebut.

Selain itu, teknologi moden mestilah berkembang dari segi baja, jentera, mesin dan benih yang akan menjadi nilai tambah kepada rantaian kepada industri asas tani serta mempercepatkan asas tani untuk lahirkan produk baharu.

“Keempat, kenal pasti produk-produk yang kita mampu pasarkan ke luar negara seperti Musang King dan sarang burung. China berminat produk itu dan mempunyai potensi besar.

“Kelima, lihat bagaimana, sektor perikanan yang juga sangat penting dalam kementerian ini yang perlu dilakukan perubahan, terutama sikap pesawah dan nelayan kita harus beri nilai tambah supaya mereka benar-benar menjadi seorang nelayan berpengetahuan,” katanya.

Salahuddin juga berkata akan meneruskan dasar-dasar pertanian yang sedia ada terutama ketika di era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kementerian daripada kerajaan lama bukan untuk berdendam.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk dasar-dasar lama diteruskan selagi mana ia baik untuk masa depan agro makanan dalam negara kita.

“Tambahan pula kita sedang kerja keras untuk memastikan isu-isu seperti keselamatan makanan dan menambah pendapatan petani. Saya rasa tidak ada keperluan membatalkan atau hapuskan dasar dahulu,” katanya.

Antara isu lain berkaitan pertanian dan asas tani dalam temubual itu adalah:

Kenapa National Feedlot Corporation (NFC) penting untuk diteruskan dan dijenamakan semula?

Salahuddin berkata projek NFC akan diteruskan dengan penjenamaan baharu kerana Malaysia masih bergantung 70% kepada daging import.

Beliau berkata untuk makanan sahaja negara import hampir RM40 bilion setahun.

“Saya rasa, idea ini dibuat dari awal Mei sebelum akhir tahun ini, kita boleh memulakan. Kita akan buat penyelidikan peringkat awal.

“Dari segi pengusaha-pengusaha tempatan yang ada modal sekarang ini, mereka hanya menggunakan tapak dan tanah sesuai untuk kita lanjutkan lagi projek NFC. Tetapi nama dia bukan NFC. Akan ada nama lain nanti.

“Saya lihat gabungan perkara-perkara pelaburan asing dan juga keterlibatan pemain tempatan dalam industri, daging akan dapat kita jayakan untuk ganti kegagalan NFC,” katanya.

Katanya projek penjenamaan semula NFC boleh diteruskan dengan menggunakan tanah lain.

“Di bawah kementerian banyak tanah satelit bertaburan di seluruh negara dan contohnya, ada pelabur asing berminat kita akan rundingkan dengan kerajaan negeri untuk kita dapatkan kebenaran tanah secara kontrak dan sewa untuk dijayakan,” katanya.

Rancangan untuk Syarikat Padi Beras Nasional Bhd (Bernas)?

Salahuddin berkata jawatankuasa Kabinet yang mengandungi 8 kementerian mengambil alih isu melibatkan Bernas.

Beliau berkata 8 kementerian ini sedang berbincang dan menyerahkan kepada jawatankuasa teknikal untuk memperhalusi tindakan seterusnya bagi melahirkan satu model mengantikan Bernas.

“Bernas akan tamat pada Januari 2021, kita akan cuba membuat pendekatan ‘soft landing’ maknanya runding dengan Bernas sebelum tamat konsesi supaya isu keselamatan makanan tidak terjejas.

“Semua pihak akan dipanggil untuk memberikan pandangan termasuk daripada mana-mana pihak yang berminat seperti pemborong, peruncit dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili petani akan dijemput untuk beri pandangan mereka terhadap model baru itu.”