Sudah tentu Azmin sokong Anwar jadi PM, kata pembantu

GEORGE TOWN: Pembantu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menolak persoalan mengenai sokongan timbalan presiden PKR itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya.

Muhammad Hilman Idham, yang juga setiausaha politik Azmin, berkata ia kelihatan berlebihan untuk menteri hal ekonomi itu menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Anwar kerana beliau berulang kali menyokong konsensus Pakatan Harapan (PH) bahawa pemimpin PKR itu akan menjadi perdana menteri.

“Saya rasa tidak perlu Azmin menyatakan sama ada dia menyokong Anwar atau tidak.

“Kami adalah parti yang bertindak atas semangat konsensus dalam kalangan parti-parti PH, jadi tidak perlu dia mengulangi apa yang dipersetujui sebelum ini.

“Sebagai timbalan presiden, secara semula jadinya Azmin akan menyokong Anwar sebagai presiden (PKR) dan perdana menteri. Marilah kita semua berkempen berdasarkan isu dan bukannya sesuatu yang remeh seperti ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan calon naib presiden PKR, S Kesavan bahawa Azmin tidak pernah menyuarakan sokongan sepenuhnya terhadap Anwar yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

S Kesavan, yang juga ahli parlimen Sungai Siput berkata beliau tidak pasti sama ada Azmin sebenarnya mahu Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.

“Saya tidak yakin dengan timbalan presiden kerana sehingga hari ini, dia tidak pernah menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Anwar sebagai perdana menteri,” katanya ketika menjawab soalan semasa sesi perbahasan mengenai isu semasa berhubung jawatan timbalan presiden PKR.

PH memutuskan Anwar akan menjadi perdana menteri ke-8, dalam “tempoh dan masa” peralihan akan dibincangkan oleh Majlis Presiden gabungan itu, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam.

Pemilihan PKR yang bermula pada 14 September ini akan berlangsung selama 9 minggu. Keputusan rasmi akan diumumkan pada Kongres Kebangsaan PKR pada 16 November.

Kira-kira 800,000 ahli PKR layak untuk mengundi dalam pemilihan parti, yang melibatkan 218 bahagian di seluruh negara tahun ini.

Sebanyak 3,000 ahli parti akan terlibat dan 600 peranti e-pengundi akan digerakkan untuk memastikan pengundian dijalankan dengan lancar.

Pengundian ditetapkan 14 September di Kelantan dan Terengganu; 15 September di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang; 17 September di Kuala Lumpur; 22 September di Pulau Pinang dan Kedah; 23 September di Selangor; 29 September di Johor; 30 September di Perak dan Perlis; 6 Oktober di Sarawak dan 13 Oktober di Sabah.