‘Tak sambung kontrak syarikat AES kerana berat sebelah, tak untungkan kerajaan’

Anthony Loke berkata, 2 syarikat itu dibayar RM16 untuk setiap saman yang dikeluarkan dan semua kutipan saman itu turut diserahkan kepada mereka.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak menyambung kontrak 2 syarikat konsesi pengendali Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana perjanjian berat sebelah yang ditandatangani pentadbiran terdahulu hanya menguntungkan syarikat itu, tetapi tidak mendatangkan hasil kepada kerajaan, kata menteri pengangkutan.

Anthony Loke Siew Fook berkata, 2 syarikat konsesi itu – ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd meraih keuntungan sebanyak RM129 juta dalam 6 tahun, bermula 2012 hingga Mei lalu.

Berdasarkan perjanjian berat sebelah yang ditandatangani kerajaan terdahulu pada Disember 2011, katanya, 2 syarikat itu dibayar RM16 untuk setiap saman yang dikeluarkan, tetapi terhad kepada 19 juta saman setahun.

Sebanyak 50% daripada kutipan bayaran saman RM300 yang terhad kepada RM540 juta setahun turut dibayar kepada 2 syarikat itu, sebelum kerajaan mengurangkan kadar saman itu kepada RM150 dan perlu menyerahkan semua hasil kutipan itu kepada mereka.

Katanya, 2 syarikat itu memperoleh RM60.2 juta untuk setiap saman yang dikeluarkan dan RM68.8 juta yang dikutip daripada pengguna jalan raya, serta kerajaan tidak dapat menerima penguatkuasaan diswastakan itu.

“Ini angka mereka telah terima daripada kerajaan dan semua bayaran itu kita akan buat audit.

“Perjanjian yang ditandatangani kerajaan terdahulu berat sebelah, ia memberi kelebihan kepada syarikat…saman yang kita kutip itu kita kena bayar kepada 2 syarikat pengendali AES.

“Kerajaan tidak hilang apa-apa kerana ia adalah ‘zero profit’ akibat perjanjian berat sebelah itu…adalah bodoh untuk menandatangani perjanjian ini,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

Jumaat lalu, Loke mengumumkan pembatalan semua 3.1 juta saman AES bernilai kira-kira RM435 juta yang dikeluarkan sejak 2012.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil alih sistem AES sepenuhnya mulai bulan depan kerana kerajaan tidak menyambung kontrak 2 syarikat konsesi itu yang akan tamat hujung bulan ini.

Hari ini, Loke berkata, 2 syarikat itu mengaut keuntungan RM129 juta, tetapi pelaburan mereka hanya sekitar RM10 juta dalam 6 tahun ini.

“Setakat ini 38 kamera sahaja yang beroperasi, 7 kamera dalam proses operasi, 2 dalam proses pemasangan.

“Jumlah keseluruhan 47 kamera. Saya difahamkan 1 kamera paling mahal RM250,000. Maksudnya jumlah pelaburan lebih kurang RM10 juta, tapi dia terima bayaran RM129 juta.

“Apapun pelaburan diberikan, mereka telah dapat balik dan mereka mengaut keuntungan jauh lebih tinggi.”

Beliau turut mendedahkan pemegang saham dalam ATES yang ditubuhkan pada 15 Jun 1985 adalah Traffen Force Sdn Bhd dan Commercial Circle (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya, Beta Tegap ditubuhkan pada 7 Februari 2004 dan pemegang sahamnya terdiri daripada Dr Andreas Teoh, Datuk Mohd Yunos Othman, Toh Puan Rozana Redzuan, Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Datin Yap Kim See @ Yap Ai Lin.