Adakah calon ketua wanita PKR bawah telunjuk Zuraida, soal Fuziah

Fuziah Salleh berkata debat merupakan amalan negara yang mengamalkan demokrasi di dunia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mempersoal mengapa calon ketua Wanita Haniza Talha yang bertanding pada pemilihan PKR tidak bersuara, sebaliknya Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menjawab mengenai cabaran debat.

Fuziah yang juga calon ketua Wanita berkata, menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu tidak bertanding bagi jawatan tersebut.

“Bukan Zuraida yang melawan ketua Wanita, mengapa calon ketua Wanita tak bersuara? Adakah calon ketua Wanita di bawah telunjuk Zuraida?

“Sekiranya begitu, apa nak jadi dengan pergerakan Wanita,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, debat merupakan amalan negara yang mengamalkan demokrasi di dunia kerana ia memberi peluang ahli parti yang ramai untuk menilai kemampuan calon menjawab atau berhujah berkenaan sesuatu isu.

“Barulah mereka boleh membuat keputusan yang terbaik dalam memilih pemimpin,” katanya.

Ahad lalu, Zuraida menepis cabaran berdebat daripada Fuziah, sebaliknya meminta calon ketua Wanita PKR itu menumpukan perhatian kepada tugas kerajaan beliau daripada membuang masa berdebat.

Beliau berkata terdapat banyak isu yang perlu diselesaikan oleh Fuziah selaku timbalan menteri hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

“Jangan buang masa dengan perkara macam ini. Ini mentaliti pembangkang yang masih tidak berubah,” katanya.

Sebelum ini, Fuziah mencabar Haniza untuk berdebat tentang dakwaan Wanita PKR bawah kepimpinan Zuraida tidak membawa banyak perubahan dan berdepan banyak kepincangan.

Cabaran itu timbul ketika Fuziah sedang berkempen untuk jawatan ketua Wanita menentang Haniza pada pemilihan PKR 2018 yang akan berlangsung pada 14 September.

Zuraida akan melepaskan jawatan itu untuk bertanding jawatan naib presiden.

Fuziah termasuk dalam senarai 8 pemimpin dalam pasukan Rafizi Ramli, yang akan mencabar Datuk Seri Mohamad Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden.