Ahli perniagaan saman hotel kerana ikan ‘dicemari’ daging lembu

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan Hindu memfailkan saman kecuaian terhadap pihak pengurusan sebuah hotel selepas dia termakan ikan salmon yang dicemari daging lembu.

Ganesalingam Kanagaretnam, yang mendakwa dirinya seorang yang berpengaruh dalam komuniti Hindu, mengalami kejutan saraf akibat kejadian itu yang berlaku awal tahun lepas.

Dalam penyataan tuntutan yang dibuat bulan lepas, Ganesalingam menamakan Hitol Petaling Jaya, di bawah THR Hotel (Selangor) Bhd), sebagai defendan.

Beliau berkata dai sering mengunjungi hotel itu untuk tujuan peribadi dan perniagaan dan makan di restoran Paya Serai.

Lelaki berusia 60 tahun itu berkata dia pernah menasihatkan pengurusan hotel supaya mengasingkan daging lembu daripada makanan lain bagi menghormati tetamu beragama Hindu.

Beliau berkata pihak hotel memberi jaminan perkara itu akan dibetulkan dan pihaknya sensitif dengan perasaan pelanggan beragama Hindu.

Dengan jaminan itu, dia perlu untuk menikmati makanan di restoran Paya Serai bersama seorang kawan.

Ganesalingam berkata pada hari kejadian dia tidak sengaja termakan ikan salmon yang dicemari daging lembu kerana 2 lauk itu dihidang bersebelahan.

Plaintif menyedari perkara itu semasa mahu mengambil makanan untuk kali kedua, menurut penyataan tuntutan yang ditunjukkan kepada FMT.

Ganesalingam berkata dia rasa loya dan bergegas ke tandas di mana dia muntah.

Menurut kertas mahkamah itu lagi, dia meninggalkan restoran itu dengan perasaan sangat tidak keruan dan sedih dan perkara itu disaksikan oleh kawannya dan pelanggan lain.

Dia menulis surat tuntutan kepada hotel pada 24 Mei tahun lepas tetapi tidak berpuas hati dengan jawapan pihak pengurusan.

Ganesalingam kemudian membuat keputusan untuk memfailkan saman menuntut permohonan maaf daripada pihak pengurusan, ganti rugi dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Beliau berkata saman itu difailkan kerana pihak pengurusan tidak menghormati penganut Hindu apabila menghidangkan makanan yang dicemari daging lembu walaupun sudah dinasihatkan tentang perkara itu.

Kebanyakan penganut Hindu tidak memakan daging lembu kerana lembu dianggap haiwan suci.

Pengurusan kes dibuat didepan pendaftar Rabiatul Adawiyyah Che Khalid di Mahkamah Sesyen hari ini dan hotel, diwakili Mah Mun Yan, diminta memfailkan pembelaan pada 12 September.

Peguam Zawharul Haq Abdul Rahman, yang tampil mewakili Ganesalingam berkata, pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 3 Oktober dan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Ruzilawati Mohd Nor akan menghakimi perkara itu.