Anthony Loke enggan terima hadiah daripada penganjur

KUALA LUMPUR: Mematuhi dasar tidak terima hadiah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini enggan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan yang diberikan kepadanya pada majlis pelancaran perkhidmatan e-hailing tempatan.

“Saya minta maaf tetapi saya tidak boleh terima ini,” kata Loke yang diberikan 2 telefon bimbit selepas pelancaran Diffride, perkhidmatan e-hailing baharu.

Kemudiannya pada sidang media, Loke menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan “mengotakan kata” dan enggan menerima sebarang hadiah pada mana-mana acara.

“Kerajaan baharu dan semua menteri, kami mengotakan kata, dan saya ingin memaklumkan kepada penganjur acara di masa depan, sila ambil perhatian kerana ini peraturan baharu oleh kerajaan baharu. Saya tidak perlukan sebarang hadiah. Lain kali, jika anda undang saya ke majlis, saya hanya akan hadir. Saya tidak perlukan sebarang hadiah,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Jun dilaporkan berkata menteri-menteri kini tidak lagi boleh menerima hadiah di bawah dasar baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Dr Mahathir, hadiah hanya dihadkan kepada bunga, makanan dan buah-buahan.